Tuesday, March 10, 2009

PKPIM KRITIK KEGANASAN POLIS TERHADAP PEJUANG BAHASA



PKPIM KRITIK KEGANASAN POLIS TERHADAP PEJUANG BAHASA

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan yang dilakukan terhadap rakyat yang menghadiri perhimpunan aman sempena bantahan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semalam.

Memandangkan perhimpunan yang dianjurkan Gerakan mansuh PPSMI (GMP) semalam mendapat permit, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut. Justeru, PKPIM berpandangan tindakan polis yang melepaskan gas pemedih mata pancutan air terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

PKPIM kesal dengan tidakan rambang pihak keselamatan yang mencederakan sebilangan besar kelompok wanita dan kanak-kanak serta orang awam yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan tersebut.

PKPIM juga mengutuk tidakan pihak polis yang tidak menghormati institusi keagamaan apabila turut melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan Masjid Negara sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda masjid.

PKPIM turut melahirkan kekecewaan terhadap tinadakan pihak polis yang menahan dua buah bas yang membawa wakil orang asli Perak dan penangkapan tanpa asas yang kukuh empat orang penyokong GMP. Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip dan amalan demokrasi yang didukung selama ini.


Dalam pada itu, perhimpunan yang dihadiri sekitar 50 ribu orang itu terdiri daripada sebilangan tokoh-tokoh akademik dan masyarakat seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Datuk Dr Hasan Ahmad, Prof Emeritus Abdullah Hasan, Prof Shahril Mohamad Zain, pemimpin masyarakat, mahasiswa, golongan veteran dan kanak-kanak.

PKPIM menafikan usaha mempolitikkan perhimpunan aman ini dan partisipasi langsung sebelah pihak dengan Pakatan Rakyat. Sebagai makluman, PKPIM dan GMP telah menjemput bukan hanya Pakatan Rakyat malah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional dan semua Badan Bukan Kerajaan (BBK) dalam menggerakkkan isu ini.

PKPIM menggesa pihak polis memohon maaf secara terbuka kepada seluruh pendukung GMP dan orang awam demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Naib Presiden Antarabangsa
PKPIM