Wednesday, February 3, 2010

GERAKAN ISLAM : MENOLEH MASA LALU, MENYOROT MASA DEPAN

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)


Menoleh Masa Lalu

1961 PKPIM lahir dengan matlamat yang sangat sederhana iaitu untuk memperjuangkan “kepentingan pelajar-pelajar Islam”. Menjelang dekad 70’an PKPIM memasuki era kematangannya dengan memperlihatkan komitmen terhadap idealisme perjuangan “cita-cita Islamiah” dan “aspirasi nasional”. Hujung 60’an dan awal 70’an adalah era tumbuhnya kesedaran kemahasiswaan. Para aktivis PKPIM menyebut diri mereka sebagai “elemen yang sedar dari masyarakatnya” di samping sebagai the conscience of the majority. Kesedaran tersebutlah yang melatari pelbagai aksi kemahasiswaan termasuk demonstrasi tentang pelabagai isu semasa. Tetapi yang lebih penting adalah kegiatan-kegiatan yang beresensi pemikiran dan keilmuan seperti Kongres Kamajuan Islam di Malaysia, Seminar Peradaban Islam, Seminar Pendidikan di Malaysia, dan Kongres Universiti Islam.

1971 ABIM lahir sebagai wadah pelanjut perjuangan pasca kemahasiswaan. Kemunculan ABIM ternyata suatu yang cukup fenomenal. Justeru, ABIM adalah badan dakwah yang pertama berciri dan berjati diri sebagai gerakan Islam (harakah Islamiyah) dengan keanggotaan yang merakyat dan bersifat nasional dalam erti meratai seluruh negara. ABIM berjaya menempa sejarah kepeloporannya dalam merealisasikan fenomena the rising tide of Islam atau kebangkitan Islam di Malaysia kerana pelbagai faktor, termasuk:

Kekuatan wadah pesediaan (PKPIM)

Ketepatan waktu kemunculannya (sebagai wadah penyambut era kebangkitan Islam)

Karisma pemimpin utamanya

Kepimpinan jama`iy yang memadukan pelbagai latar pendidikan

Keupayaan memanfaatkan dinamika keislaman dan kepemudaan

Kekuatan fikrah (budaya ilmu)

Keberkesanan skema tarbiyah (ilmiah-rohaniah-harakiah).

Keberkesanan mekanisme dan kekuatan keorganisasian.

Keterbukaan dan toleransi terhadap kepelbagaian aliran mazhab dan pemikiran.

Komitmen yang tinggi terhadap misi perjuangan amar makruf nahi munkar.

Tidak benar mempersepsikan ABIM sebagai wadah pelarian penderita penyakit rendah diri pelajar-pelajar aliran Melayu yang gagal menguasai bahasa Inggeris. Perlu dicatat bahawa sebahagian yang tidak kecil daripada barisan pimpinan awal ABIM adalah mereka yang berlatar pendidikan Inggeris. Demikian juga tidak benarnya anggapan bahawa ABIM adalah jelmaan keresahan kaum Melayu yang berasa jati dirinya sedang terhakis. Dengan kata lain, fenomena keislaman yang dipromosikan oleh ABIM itu hanyalah suatu usaha pemantapan jati diri Melayu. Hakikatnya, fenomena keislaman di Malaysia adalah sebahagian daripada fenomena global al-sahwah al-Islamiayyah. Yang membentuk pemikiran para aktivis ABIM bukan tokoh-tokoh racist Melayu, tetapi karya tulis para pemikir dan pemimpin gerakan Islam seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Maududiy, an-Nadwi, Fathi Yakan, Sa’id Hawwa, Muhammad Natsir, Malik Bennabi, Isma’il R.al-Faruqi dan lain-lain lagi. Dari kalangan ilmuwan-pemikir tempatan yang turut berperanan membentuk pemikiran para aktivis tersebut termasuklah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau sangat berjasa dalam konteks pengukuhan idea Islamisasi dan dewesternisasi. Kritiknya terhadap Barat, tamadun dan kesarjanaannya, telah meruntuhkan hegemoni pemikiran Barat di kalangan generasi muda terpelajar. Penyerlahannya terhadap peranan besar Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu memberikan cultural confidence dalam perjuangan pendaulatan Islam dan tamadunnya di Malaysia. Selain beliau, Prof. Syed Husein Alatas adalah public intellectual yang turut memberikan sumbangan besar dalam membangkitkan kepedulian sosial dan pemikiran kritis. Kritiknya terhadap Dasar Ekonomi Baru dan idea kapitalistik buku Revolusi Mental mendapat perhatian luas di kalangan pimpinan dan warga ABIM.

Dalam pembinaan tradisi keilmuannya ABIM bersikap terbuka, sedia memanfaatkan ilmu dari siapa sahaja termasuk dari kalangan bukan Islam seperti Paulo Freire, pemikir dan pejuang pendidikan kaum tertindas dari Brazil. Bagaimanapun ABIM tidak pernah terikat dengan sesiapa. Dengan demikian khazanah keintelektualannya menjadi lebih kaya dan beragam. Kekayaan dan keragaman seperti itu memang sangat diperlukan untuk pengentalan mesej dan misi perjuangan membina masyarakar yang religious dan sekaligus rakyat yang cerdas dan berfikiran kritis. Latar keintelektualan sedemikian itulah juga yang membawa pencitraan ABIM bukan hanya sebuah badan dakwah dalam pengertian sempit, tetapi juga suatu kekuatan sosial dan agen perubahan yang tidak boleh diremehkan.

Menyorot Masa Depan

Demikianlah pengkisahan ringkas sebuah gerakan yang menjadi ikon dalam sejarah kebangkitan Islam di Malaysia. Kehadirannya selalu dikitari kontroversi, yang mendukung menyintainya sepenuh hati, yang menentang membencinya setengah mati. Kita adalah pewaris dan pelanjut sebuah gerakan besar. Yang kita warisi bukan cuma kebesarannya, tetapi juga beban memelihara kebesarannya dan mempertahankan kerelevanannya.

Apabila dikatakan bahawa quality means survival bererti kualiti kader gerakan adalah penentu kerelevanan dan survival. Kerana itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, kualiti (khususnya kualiti kepimpinan jamaah) tidak seharusnya dikompromikan. Justeru, pemimpin adalah imej gerakan/jamaah keseluruhannya. Kerana itu kepimpinan Jamaah harus memiliki sejumlah kriteria keunggulan terutama keperibadian yang inspiring, integriti moral dan ketaatan beragama, kompetensi keilmuan yang tinggi, kemampuan mengartikulasikan fikrah dan gagasan keislaman dengan petah, indah dan meyakinkan; juga ketrampilan berorganisasi termasuk kemampuan menjadi problem solver.

Kepimpinan gerakan ini harus kaya dengan idea dan gagasan. Peranan tradisi gerakan ini sebagai opinion leader perlu dipertahankan. Demikian juga dengan peranan kepeloporannya dalam menghasilkan gagasan-gagasan baru seperti konsep pembangunan, pendidikan bersepadu, Islam dan masyarakat majmuk dan lain-lain lagi. Dalam konteks hari ini seharusnya kita mampu memasyarakatkan gagasan-gagasan yang kemaskini seperti Islam dan pluraliti, pendidikan demokrasi, ekonomi kerakyatan, pendidikan liberatif dan seumpamanya. Gagasan-gagasan besar ini tidak hanya untuk diwacanakan sesama sendiri, tetapi harus diangkat menjadi wacana nasional dan seterusnya diarusperdanakan

Kehadiran kita selama ini bukan sekadar bak melukut di tepi gantang, tetapi sebagai suatu kekuatan, sebagai a formidable force. Kekuatan ini harus dipertahankan dan ditingkatkan. Justeru, ada ketikanya kita perlu berbicara dan bertindak dengan kekuatan. Hanya dengan memiliki kekuatan yang secukupnya kita dapat berperanan sebagai agen perubahan, sebagai kekuatan pengimbang, sebagai jambatan dan sebagai kekuatan penentu.

Kegiatan pendakwahan yang selama ini menjadi core business kita perlu ditinjau semula keintensifan dan keberkesanannya terutama dalam konteks krisis moral akibat keleluasaan budaya hiburan dan kegiatan maksiat. Dalam kaitan inilah timbulnya kewajaran melihat kemungkinan memanfaatkan keanggotaan gerakan ini dalam Majlis-Majlis Belia untuk meningkatkan gerakan mendidik dan membina generasi muda umat dengan budaya ilmu dan nilai-nilai keagamaan.

Memang banyak yang memerlukan tinjauan semula, termasuk institusi-institusi pendidikan yang telah kita bangunkan sebagai memenuhi tuntutan dakwah bi ‘l-hal dengan menawarkan alternatif keislaman atau al-bada’il al-Islamiyyah. Yang harus ditinjau semula adalah kerelevanannya dalam konteks masa kini, kualitinya sebagai program alternatif yang memakai label Islam. Institusi-institusi ini seharusnya berkembang kuantiti dan kualitinya, tidak membeku pada tahap eksperimental yang serba seadanya. Perlu diambil ingatan bahawa pihak-pihak lain telah juga telah mendirikan institusi-institusi yang hampir sama, yang kualitinya mungkin lebih baik.

Konsolidasi Dalaman

Keperluan semerta yang paling mendesak adalah konsolidasi dalaman, pemantapan dan pemapanan rangkaian jamaah yang telah kita bina dengan susah-payah. Untuk tujuan itu langkah-langkah yang perlu segera diambil harus meliputi:

Pengukuhan institusi syura.

Pemantapan amalan qiyadah jama`iyyah dan budaya amal jama`iy

Penegasan sikap menolak gejala pemecahan jama`ah (splinter group)

Pengemaskinian skema tarbiyah harakiyah jama`iyah dan pelestarian tradisi belajar bersama.

Penyegaran nilai-nilai luhur perjuangan: keikhlasan, persaudaraan, kasih-sayang dst.

Saturday, January 30, 2010

ARTIKEL TARBIYAH SIRI 1

USRAH DAN KEPENTINGAN

MUQADDIMAH

Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Al-Kahf : 13 – 14)
Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerakerja Islam. Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.
Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah). Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.

Antara syarat-syarat tersebut ialah:

Syarat Pertama
Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.
Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.

Syarat Kedua
Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (reality) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.
Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan. Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).

Syarat Ketiga
Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai jamaah dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dn ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.
Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Syarat Keempat
Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’. Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin )golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku). Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dna ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.

Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan. Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda.Tanggungjawab berat yng dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).
Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim (penyusunan) yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk tanzim ‘amal jama’i(penyusunan gerak kerja secara berjamaah).

KONSEP 'AMAL JAMA'I DALAM GERAKAN ISLAM

‘Amal jama’i adalah merupakan satu tuntutan harakah yang panduannya disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Di dalam hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yamani r.a. katanya: “Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikut selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasullullah menjawab denga bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jamaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.”

Saidina Umar al-Khattab juga ada menyebut yang bermaksud:
“Tidak wujud Islam tanpa jamaah dan jamaah pula tidak akan wujud tanpa kepimpinan dan tidak wujud pula kepimpinan tanpa ketaatan.”
Bersandarkan kepada nas-nas di atas, kita hendaklah menyedari hakikat bahawa penglibatan diri di dalam jamaah Islam yang berbentuk haraki adalah merupakan satu tuntutan syara’.

Di dalam merealisasikan tuntutan ini ke dalam waqi’ kita di Malaysia, ikhwah yang sedang melalui proses tajnid ini hendaklah peka terhadap beberapa zaadun ‘ala tariq(bekalan sepanjang perjalanan) yang perlu difahami, diamalkan dan diistiqamahkan sepanjang perjalanan ini.

Sehubungan dengan itu, dua perkara yang perlu kita programkan sepanjang kewujudan kita di sini adalah al-ghayah (matlamat) dan al-wasilah (kaedah atau cara) untuk sampai dan memenuhi al-ghayah tersebut.

Wednesday, January 13, 2010

Mengapa Orang Bukan Islam Tidak Berhak Menggunakan Kalimah Allah: Tanggapan Terhadap Golongan Yang Membenarkan

Oleh Dr Khalif Muammar
Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.


Kedudukan Masalah


Setelah isu ini dibahas hampir dua tahun masih ramai lagi yang keliru tentang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Antara sebabnya ialah wujudnya pandangan yang diberikan oleh beberapa cendekiawan yang digelar ulama’ yang mengatakan bahawa terdapat dalil dalam al-Qur’an yang membenarkan hal tersebut. Dan tiadanya dalil yang menyokong larangan penggunaan oleh bukan Islam. Penulis telah berkesempatan untuk mengikuti isu ini dan memberi tanggapan sejak dari awal lagi dan menghasilkan 3 artikel sebelum ini yang boleh dicapai dalam khairaummah.com. Dalam makalah terakhir ini penulis cuba menjawab keraguan-keraguan yang ditimbulkan dan memberikan hujah-hujah yang muktamad agar kecelaruan tidak berterusan dan kepentingan umat Islam dapat dipertahankan. Dengan penjelasan yang terbaik yang penulis dapat paparkan ini mudah-mudahan terbuka hati dan bertambah yakin orang-orang yang inginkan kebenaran berdasarkan hujjah dan biarkanlah tertutup hati orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran walaupun datang dengan hujjah.


Sebelum pergi jauh perlu difahami terlebih dahulu maksud persoalan di atas. Ia bukan persoalan tentang siapakah Tuhan orang bukan Islam, kerana jelas bagi kita Tuhan bagi semua umat manusia hanya satu iaitu Allah. Ia juga bukan berkaitan dengan orang Arab bukan Islam di negara-negara Arab kerana persoalan ini muncul dalam konteks Malaysia, dan hanya relevan dengan negara-negara bukan Arab. Maka maksud persoalan di atas adalah merujuk kepada orang bukan Islam di Malaysia bukan di negara-negara Arab. Perbezaan konteks ini sangat penting kerana ia juga bermakna perbezaan bahasa yang digunakan oleh bangsa yang berlainan. Orang bukan Islam di Malaysia tentunya bukan orang Arab. Dari sini sahaja dapat disimpulkan bahawa penggunaan nama Allah bagi orang bukan Islam di Malaysia tidak relevan kerana mereka tidak pernah menggunakannya bahkan tidak mengerti pun maksudnya. Orang bukan Islam di Malaysia tidak mengenal bahasa Arab, maka perkataan Allah adalah perkataan yang asing dalam kehidupan mereka.


Perlu juga ditegaskan dengan kalimat ‘menggunakan’ di atas yang dimaksudkan adalah menamakan atau menggunakan nama Tuhan orang Islam bagi merujuk Tuhan mereka. Di sini dapat disimpulkan bahawa faham pluralisme agama terkandung dalam usaha ini. Daripada perkataan ’menggunakan’ di atas maka tidak timbul isu sekadar penyebutan nama Allah oleh bukan Islam dengan maksud merujuk kepada Allah sebenar. Tidak sepatutnya timbul pernyataan apa salahnya orang bukan Islam menyebut nama Allah kalau yang dimaksudkan itu benar. Mereka boleh sahaja menyebut, membaca, nama Allah yang menjadi persoalan di sini adalah penggunaan istilah yang sama / pemberian nama yang sama bagi Tuhan yang berlainan.


Jika persoalan telah jelas difahami dengan betul maka jawaban terhadap persoalan juga diharapkan akan lebih terfokus. Untuk memudahkan lagi orang awam boleh juga dipertanyakan dalam bentuk yang sedikit berbeza iaitu bolehkah orang bukan Islam menamakan Tuhan mereka Allah?


Terdapat kecenderungan di kalangan umat Islam, tidak terkecuali ulama’nya, untuk menyederhanakan persoalan rumit dan besar ini. Bagi sesetengah orang ini hanyalah persoalan perebutan nama. Atau ia hanyalah berkaitan dengan sebutan, luaran yang tidak perlu dihubungkaitkan dengan persoalan Akidah dan keyakinan umat Islam. Menurut prof. Wan Mohd Nor walaupun kelihatan masalah nama dan bahasa ini sederhana tetapi melalui bahasalah pandangan alam (worldview) terbentuk. Perubahan pada bahasa dengan merubah maknanya akan memberi kesan yang besar kepada perubahan pandangan alam dan seterusnya keyakinan dan amal ibadah orang Islam.

Tentang Orang Arab Bukan Islam Yang Menggunakan Nama Allah

Untuk menjawab persoalan ini pertama sekali perlu dijelaskan bahawa konteks masyarakat Melayu dengan masyarakat Arab berbeza. Perkataan Allah adalah perkataan Arab yang telah wujud sebelum kedatangan Islam oleh nabi Muhammad saw. Orang bukan Islam yang datang ke negeri Arab, baik Yahudi mahupun Nasrani, telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka selama lebih 1400 tahun yang lalu kerana bahasa Arablah bahasa yang mereka gunakan. Jika orang bukan Islam dalam masyarakat Arab hari ini masih menggunakan nama Allah maka hal ini wajar dalam konteks tersebut, kerana mereka tidak mengalami Islamisasi dan sehingga ke hari ini masih mengguanakan bahasa Arab. Dalam konteks Malaysia yang bahasanya bukan bahasa Arab, dan orang bukan Islam yang bukan orang Arab, maka penggunaan nama Allah oleh mereka adalah sesuatu yang janggal. Sesuatu yang dipaksakan, yang sengaja ditimbulkan untuk tujuan-tujuan yang tidak baik. Oleh itu jika di negara-negara Arab hal ini dibenarkan, melihat kepada fakta sejarahnya, ia tidak boleh dijadikan ukuran untuk membenarkan hal yang serupa berlaku di Malaysia dan di negara-negara bukan Arab.


Sesetengah orang Islam yang keliru dalam menanggapi isu ini berhujah bahawa dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa orang Yahudi mendakwa ‘Uzair itu anak Allah’, dan orang Nasrani mendakwa bahawa ‘al-Masih itu anak Allah’ (lihat surah al-Tawbah: 30). Sebenarnya jika diperhatikan dengan teliti dan dengan mengambil kira perbezaan bahasa, yang mereka katakan sebenarnya tidaklah betul-betul sama seperti itu, kerana dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Ibrani, perkataan yang mereka gunakan sebenarnya adalah Uzair itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), dan al-Masih itu anak Tuhan (Yahweh/ Elohim), tidak ada perkataan Allah dalam bahasa mereka. Al-Qur’an sebenarnya menterjemahkan kata-kata mereka yang tentunya bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa mereka sendiri, iaitu Ibrani, untuk difahami oleh orang Arab atau orang Islam. Oleh kerananya perkataan yang digunakan adalah Allah kerana Allah dari segi bahasa adalah Tuhan. Penggunaan dalil seperti ini oleh golongan ini menunjukkan sikap yang sembrono dan kurangnya kehati-hatian.


Sememangnya Allah adalah Tuhan semua nabi dan rasul. Tetapi Allah bukanlah Tuhan yang disembah oleh orang Yahudi dan Nasrani. Dengan penyelewengan yang berlaku dalam agama tersebut mereka tidak lagi beriman kepada Allah. Jadi mereka tidak boleh mendakwa diri mereka beriman kepada Allah. Maka dari itu sesuatu yang melambangkan ketidakcerdasan dan kenaifan apabila ada sesetengah orang berkomentar dalam isu ini “al-hamudillah, akhirnya orang bukan Islam percaya Allah itu Tuhan mereka”. Di sinilah pentingnya kita memahami iman, Islam dan Din dengan mendalam. Sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, iman dan Islam tidak hanya cukup dengan dakwaan percaya kepada Allah tetapi mestilah tunduk dan patuh dengan sebenar-benarnya (real submission and true obedience) kepada perintah dan suruhan Allah dengan mengikuti Rasulullah saw (al-Attas, Prolegomena: 54-56).


Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka. Penggunaan yang khusus lebih banyak daripada penggunaan yang umum, ini selaras dengan banyaknya ayat-ayat yang turun merujuk kepada tahap intensif Islamisasi. Tahap Islamisasi yang intensif sebenarnya berlaku di Makkah lagi apabila konsep-konsep mendasar dan penting dijelaskan dengan panjang lebar. Dalam konteks inilah ayat-ayat seperti dalam surah al-Ikhlas, al-Kafirun, ayat Kursi dll. diturunkan agar konsepsi yang jelas tentang Tuhan dapat difahami dan dihayati oleh kaum Muslimin.


Umat Islam yang telah mengalami proses Islamisasi, baik di Arab mahupun di alam Melayu, mempunyai konsepsi yang jelas tentang Allah. Konsepsi yang jelas ini adalah kesan proses Islamisasi selama lebih 1400 tahun di Arab dan lebih kurang 1000 tahun di alam Melayu. Islamisasi berlaku apabila nama-nama atau istilah-istilah yang telah wujud sebelum Islam diberikan makna baru. Proses Islamisasi ini telah menjadi garis pemisah antara Islam dengan kufur. Dalam konteks nama Allah ini Islamisasi telah memisahkan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain. Walaupun ia adalah sebuah nama bagi Tuhan, tetapi ia bukan sembarangan nama kerana maknanya sarat dengan perbezaan teologi yang mendasar dengan nama-nama tuhan yang lain. Adalah sesuatu yang malang jika umat Islam membenarkan orang bukan Islam, sedangkan ia berkuasa untuk melarangnya, konsepsi tentang Allah ini menjadi dangkal kembali. Jika ini berlaku bermakna umat Islam hari ini telah membenarkan berlakunya deislamisasi. Suatu langkah mundur 1000 tahun ke belakang. Kalimah la ilaha illa Allah yang bermaksud tiada tuhan melainkan Allah, dengan pendangkalan makna di atas maka kalimat tauhid ini akan bermaksud tiada tuhan melainkan Tuhan, walaupun bukan ini yang dikehendaki dalam Islam dan oleh para ulama’nya tetapi inilah maksud yang sah pada mata umum. Dengan demikian kalimah Tawhid yang seharusnya mempunyai kesan dan implikasi yang besar dalam kehidupan seorang Muslim akan menjadi bertindih, wujud percanggahan (incoherence) dan tidak memberi makna yang signifikan.

Masyarakat Jahiliyyah yang Menyebut Allah.

Golongan literal dan tekstualistik ini juga menyandarkan hujah mereka kepada ayat al-Qur’an Surah al-Zumar: 38 yang bermaksud “Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".”


Memang pada zahirnya ayat tersebut menyatakan bahawa orang Quraish jahiliyyah pada hakikatnya percaya bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Namun sebagaimana disebutkan di atas yang dimaksudkan dengan kalimah Allah di atas bukan kata khusus tetapi kata umum. Faktanya, kalimah Allah telah digunakan oleh masyarakat Jahiliyyah sejak sebelum Islam, maka tidak mungkin al-Qur’an menggunakan perkataan lain bagi merujuk kepada Tuhan. Jadi ketika ia menceritakan apa yang dipercayai oleh orang bukan Islam maka al-Qur’an mengatakan bahawa mereka percaya akan wujudnya Tuhan, bahawa Tuhan lah yang menciptakan segalanya. Ini kerana secara alamiahnya konsep Tuhan telah ada dalam diri manusia sejak mereka dilahirkan di dunia. Tawhid datang melalui para Rasul untuk mengajarkan umat manusia siapa Tuhan itu sebenarnya. Dengan risalah Tawhid ini manusia dibebaskan daripada kepercayaan politeisme, dinamisme dan animisme. Kedatangan nabi Muhammad saw walaupun sebagai kesinambungan dari nabi-nabi sebelumnya tetapi juga untuk meluruskan penyimpangan akidah dalam agama Yahudi dan Nasrani. Jadi penggunaan nama Allah oleh masyarakat Jahiliyyah adalah penggunaan yang umum yang hanya bermaksud Tuhan kerana demikianlah erti Allah dari segi bahasa. Tetapi setelah kedatangan Islam penggunaan umum ini tidak relevan bagi masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam yang bukan Arab pada hari ini. Maka ayat di atas sebenarnya tidak sama sekali membenarkan orang bukan Islam di negara ini menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka. Kerana Arab jahiliyyah telah memiliki kalimah Allah ini sebelum Islam datang sedangkan orang bukan Islam di negara ini, dan di negara selain Arab, tidak mengenal kalimah ini. Kesimpulannya adalah satu pembohongan apabila ada yang mengatakan bahawa terdapat dalil yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah.

Bahaya Pendekatan Literal dan Tekstualistik

Terdapat kekeliruan yang besar apabila sebahagian ilmuwan dan orang awam cenderung mempertanyakan dalil atau nas bagi setiap persoalan yang timbul. Kelompok literal dan rigid ini ketika melihat ada sebahagian ayat al-Qur’an yang secara literalnya seolah-olah membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam maka secara terburu-buru tanpa meneliti dengan mendalam maksud ayat-ayat tersebut dan perbezaan konteksnya lalu terus mengambil kesimpulan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah.


Perlu dijelaskan bahawa tidak semua persoalan perlu ditanyakan apakah dalilnya, jika ada nas maka barulah sesuatu dapat diperkatakan jika tidak maka ia hanyalah pandangan yang relatif, boleh ditolak atau diterima. Hakikatnya selain nas, ada ilmu yang diwariskan oleh para ulama. Inilah yang dimaksudkan bahawa ulama itu pewaris nabi. Bahawa mereka itu mewariskan ilmu yang diperolehi oleh nabi (hadith). Kelebihan ilmu ini jugalah yang membezakan si jahil dengan orang alim. Orang jahil boleh sahaja berhujah dengan ayat dan hadith tetapi dia tidak tahu pasti bagaimana ayat dan hadith itu difahami dan digunakan.


Kita tahu bahawa ayat-ayat al-Qur’an terhad dan permasalahan yang timbul sentiasa bertambah. Seorang mujtahid, ulama atau pemikir, perlu dapat memberikan jawapan bagi setiap persoalan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang terhad itu. Di sinilah letaknya kedinamikan Shari’ah, sehingga ia sesuai diterapkan sepanjang masa. Mereka harus dapat merumuskan prinsip-prinsip baik tersurat mahupun tersirat daripada al-Qur’an dan Sunnah. Berdasarkan prinsip-prinsip inilah mereka cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul. Oleh itu kemampuan yang perlu ada pada seorang mujtahid bukanlah mengeluarkan ayat-ayat atau hadith dalam menanggapi sesuatu persoalan tetapi kebijaksanaan yang terbit dari kefahamannya yang mendalam terhadap al-Qur’an dan Sunnah serta karya-karya ulama terdahulu (al-Turath).


Malangnya hari ini yang berpandukan kepada kewujudan dalil bukan hanya orang awam tetapi mereka yang mendabik diri mereka ulama. Mereka mencari dalil, walhal ini adalah persoalan baru yang memerlukan pemikiran yang mendalam. Sepatutnya yang ditanyakan bukan apakah dalilnya tetapi apakah hujahnya? Ketika suatu persoalan itu tidak ada dalil yang qat’i mengenainya tidak bermakna kita tidak memiliki hak untuk memberikan kata putus dalam hal tersebut. Oleh kerana itu dalam persoalan nama Allah ini ulama fiqh bukan pakarnya. Mereka terbiasa dengan pencarian dalil dalam mengistinbatkan hukum. Ini persoalan usuluddin atau ilmu tawhid. Seseorang yang ingin membahas isu ini perlu menguasai teologi, ilmu kalam, epistemologi Islam, falsafah Islam dan metafizik Islam. Persoalannya bukan apakah hukumnya halal atau haram tetapi lebih penting dari itu apakah kesannya terhadap akidah seorang Muslim? Walaupun sepatutnya mujtahid menguasai kedua bidang ini, Shari’ah dan Usuluddin dengan baik, namun realitinya pada hari ini jarang hal itu berlaku.

Kepentingan Ilmu Kebijaksanaan

Menyedari kerumitan masalah ini dan skopnya yang melampaui hukum-hakam, maka ilmuwan Fiqh bukanlah orang yang patut menjadi rujukan dalam persoalan ini. Kecenderungan hari ini menampakkan bahawa ulama fiqh dapat menjawab segala persoalan. Ataupun semua persoalan adalah persoalan fiqh. Hakikatnya tidak semua persoalan dapat dikategorikan sebagai hukum hakam dan bukan semua persoalan dapat dipecahkan dengan kaedah fiqh. Persoalan nama Allah ini menunjukkan bahawa ada perkara-perkara yang memerlukan kepada kekuatan hujah yang memerlukan perenungan, kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan yang tinggi dan bukan hanya pencarian dalil dan pemahaman yang literal.


Tampak jelas bahawa terdapat kecenderungan yang meluas ketika ini sikap literal dan tekstualistik dalam memahami Islam. Golongan ini kononnya mengikuti hanya al-Qur’an dan al-Sunnah dan tidak merasa perlu untuk mengikuti pandangan para ulama. Golongan pseudo-salafi ini mengatakan jika tiada nas atau dalil maka apapun yang diutarakan hanyalah pandangan yang relatif kerana ia berdasarkan kepada akal fikiran manusia yang boleh ditolak dan boleh diterima. Sebenarnya dalam banyak hal kita perlu menggunakan kebijaksanaan kita dan bukan bersikap literal dan tekstualistik. Tidak semua perkara perlu dikemukakan soalan apakah ada dalil atau nas tentang hal itu? Jika tiada maka kita tidak berhak mengatakan ianya tidak boleh. Kalau ada dalil, yang secara zahirnya membenarkan, tanpa perlu melihat maksud dan konteksnya maka keputusan terus diambil tanpa berfikir panjang. Tidak wajar ditanyakan contohnya apakah dalilnya pluralisme agama haram, liberalisme, feminisme dsb? Sikap literal dan tekstualistik ini menyebabkan sebahagian orang bersikap ekstrim dan rigid (kaku) contohnya segolongan mengongkong isteri mereka dari keluar rumah, dengan alasan adanya nas al-Qur’an yang memerintahkan seperti itu. Ada yang berpandangan bahawa kerana ilmu itu milik Allah, sebagaimana ditegaskan dalam al-Qur’an, maka cetak rompak dan plagiarisme dibenarkan. Bahkan golongan ekstrimis yang banyak melakukan keganasan juga menggunakan ayat al-Qur’an yang menyuruh membunuh orang kafir tanpa memahami konteksnya dan dalam keadaan apa ayat itu berlaku. Semua pendekatan ini sangat bersalahan dengan suruhan al-Qur’an dan di samping itu akan memberi kesan negatif kepada kebijaksanaan orang Islam.


Islam memberi tempat yang sewajarnya kepada akal fikiran (human intelligence). Yang dimaksudkan di sini bukanlah reason dan hubungannya denga rasionalisme falsafah yang berkembang di Barat. Mengenai rasionalisme Barat yang menjadi pegangan golongan liberal dan modenis ini penulis telah jelaskan dalam buku tersendiri (Lihat Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, 2006 dan 2009). Adapun kedudukan dan kepentingan akal dalam Islam telah dijelaskan oleh ulama’-ulama muktabar. Imam al-Ghazali antara lain mengatakan:

“Akal itu umpama penglihatan yang selamat dari cacat cela, dan al-Qur’an itu umpama matahari yang menyinari jagat raya, dengan keduanya seseorang dapat memperolehi hidayah. Seorang yang mengambil salah satunya tergolong dalam orang-orang yang bodoh, orang yang menolak akal hanya cukup dengan cahaya al-Qur’an sama kedudukannya dengan orang yang mendapatkan cahaya matahari tetapi menutup hati, maka tidaklah berbeza dia dengan orang yang buta. Maka akal dengan Shara’ adalah cahaya di atas cahaya”. (Al-Iqtisad fi al-I’tiqad: 4).

Kecenderungan golongan pseudo-salafi yang anti akal ini sebenarnya tidak mempunyai akarnya dalam tradisi Islam. Bahkan Ibn Taymiyyah yang mereka angkat sebagai imam Salafiyyah tidak mempunyai sikap sedemikian. Ibn Taymiyyah sepakat dengan al-Ghazali tentang kepentingan akal ini. Ibn Taymiyyah mengatakan:

“Akal itu syarat dalam mencapai ilmu pengetahuan dan kesempurnaan amal soleh, dengannya akan sempurna ilmu dan amal. Ia seperti kuatnya penglihatan bagi mata maka ketika bertemu dengan cahaya iman dan al-Qur’an maka umpama bertemunya cahaya mata dengan cahaya matahari dan api dan jika mencukupi dengan salah satunya tidak akan dapat seseorang itu memahami segala sesuatu”. (Majmu’ Fatawa: 3:338).

Bahkan ulama’-ulama usul fiqh sendiri mengiktiraf penggunaan akal apabila mereka menjadikan qiyas, istislah, istihsan, masalih mursalah, dan sadd al-zari’ah sebagai sumber hukum sekunder. Di sinilah bermulanya perbezaan antara golongan pseudo-salafi dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di mana golongan pseudo-salafi ini cenderung rigid terhadap nas dan menolak penggunaan akal dan kebijaksanaan.


Kelompok yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah kemudian mengenakan syarat kepada orang bukan Islam supaya tidak menyalahgunakan kebenaran tersebut untuk mengkristenkan orang Islam. Ada juga yang memberikan panduan bagaimana orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Justeru ini membuktikan adanya kecelaruan (incoherency) dalam cara berfikir mereka.

Pertama sekali tidak ada alasan orang bukan Islam untuk mendengar nasihat kelompok ini, kerana mereka sendiri tidak mewakili umat Islam apalagi untuk mempengaruhi orang bukan Islam. Kedua, sesuatu yang tidak masuk akal, melihat sejarah kristianisasi yang begitu dahsyat di alam Melayu ini, mereka akan akur dengan nasihat orang yang dikatakan ‘ulama’ ini. Orang Kristian telah memperjuangkan isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mereka amat gembira apabila keputusan mahkamah tinggi memihak kepada mereka, sebahagiannya dikeranakan wujudnya perbalahan di kalangan ilmuwan Islam sendiri. Kemenangan ini bagi mereka menunjukkan kebenaran dakwaan mereka bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka kebenaran menggunakan nama Allah akan menjadi satu pencapaian besar bagi orang Kristian. Hakikatnya ia akan memudahkan lagi proses kristianisasi orang-orang Islam. Kristianisasi ini walaupun tidak dibenarkan dari segi undang-undang tetapi telah berjaya memurtadkan ramai golongan remaja di negara ini.


Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang atau rendah kerana hal ini tetapi umat Islam akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan semakin menipis. Kekeliruan akan semakin merajalela. Kerana dari bahasa pandangan alam akan berubah. Deislamisasi banyak berlaku melalui proses pendangkalan makna. Pendangkalan seperti Islam hanya kepada berserah diri, iman hanya menjadi percaya kepada Allah. Oleh kerananya ramai orang bukan Islam mengaku diri mereka muslim dan mukmin (dengan m kecil), kerana mereka juga berserah diri dan percaya kepada Allah, yang kini cuba didangkalkan maknanya hanya bermaksud Tuhan.


Kecelaruan dalam masalah ini timbul kerana ulama’ fiqh yang tidak berautoriti terburu-buru memberikan pandangan mereka berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mereka yang terbatas itu. Seharusnya mereka dapat menahan diri mereka dari memperkatakan sesuatu yang mereka tidak pasti, dan mengakui keterbatasan ilmu yang mereka miliki. Pandangan yang sembrono ini dapat merugikan umat Islam dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan. Mereka juga sepatutnya menghormati pandangan ilmuwan yang lebih berautoriti, dan berwibawa dalam bidang yang lebih relevan iaitu ilmu usuluddin, atau ilmu tawhid. Tidak seperti zaman dahulu, pengkhususan yang menjadi ciri pendidikan hari ini menyebabkan ulama fiqh tidak menguasai dengan baik ilmu usuluddin, begitu juga sebaliknya. Kerana itu penting untuk setiap ilmuwan memahami keterbatasan bidang masing-masing dan menyerahkannya kepada orang yang lebih layak untuk dirujuk. Inilah yang disebut sebagai adab, yang bukan sahaja perlu ada pada penuntut ilmu tetapi juga pada para ilmuwan kepada ilmuwan yang lebih tinggi derajatnya. Jelas bagi saya bahawa kecelaruan dalam masalah ini menunjukkan semakin parahnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam tidak terkecuali golongan cendekiawannya.


Perlu juga ditegaskan penekanan kepada adab di sini bukan untuk menghalang ijtihad di kalangan ilmuwan tetapi menegaskan peri pentingnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Seseorang ilmuwan yang memberikan pandangan dalam hal yang bukan kepakarannya tidak sama sekali dapat disebut sebagai ijtihad. Pandangan yang diberikan oleh ulama seperti ini sebenarnya bukan ijtihad. Pandangan seseorang ulama dikatakan ijtihad jika ia memiliki ilmu yang mencukupi dalam bidang tertentu dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memahami sesuatu persoalan sampai ke dalam dalamnya, barulah apabila dua syarat ini dipenuhi maka ia dikatakan ijtihad, jika tidak ia hanya boleh dianggap pandangan seperti pandangan orang awam. Hanya ijtihad sahaja yang jika salah sekalipun mendapat satu pahala, sedangkan pandangan yang mengelirukan boleh mendatangkan dosa khususnya apabila pandangan itu diberikan tanpa hati-hati, tanggungjawab moral dan ketaqwaan.


Penutup


Telah banyak pandangan ulama' besar dikemukakan. Al-Attas sejak tahun 80an, Wan Mohd Nor yang banyak dikutip oleh penulis, dan baru-baru ini Siddiq Fadzil dan Haron Din telah menjelaskan isu ini. Sepatutnya kewibawaan tokoh-tokoh ini sudah cukup untuk menjadi ukuran dalam memahami persoalan ini dan bukan populariti sesetengah orang yang dikatakan ulama’ itu. Isu ini adalah isu Akidah dan kedaulatan Islam. Ia lebih besar daripada isu politik. Perbezaan ideologi politik tidak harus membutakan hati nurani kita daripada mengenali kebenaran.

Isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam bagi saya melambangkan betapa seriusnya fenomena kehilangan adab di kalangan umat Islam, tidak terkecuali golongan intelektualnya. Adab di sini bukan hanya suatu sikap yang perlu ada bagi penuntut ilmu kepada gurunya, atau dari orang bawahan kepada orang atasan, tetapi yang paling mendasar adalah memahami dengan baik dan meletakkan sesuatu termasuk diri sendiri dan orang lain pada tempat yang yang wajar dan tepat. Agar yang tidak tahu menyedari ketidaktahuannya lalu mahu tahu dengan merujuk orang yang betul-betul tahu. Kita lihat bagaimana isu ini diperbincangkan tanpa merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan yang berautoriti/ berwibawa dalam bidangnya. Ilmuwan-ilmuwan kecil yang cuba ber'ijtihad' tanpa menyedari keterbatasan ilmu yang dimilikinya. Terdapat ilmuwan yang mencampur adukkan politik dengan urusan agama sehingga kecenderungan politiknya mempengaruhi pandangannya dalam hal ini. Memang tidak mudah menahan diri dari mendapatkan political mileage apabila kemenangan pilihanraya banyak ditentukan oleh undi orang bukan Islam. Kerana itu ulama’-ulama’ muktabar tidak mahu terlibat dalam politik dan kepartian. Ramai juga yang cuba memperkatakan sesuatu dengan merujuk kepada sumber-sumber yang tidak jelas (seperti google, wikipedia dll), dan pengalaman bangsa asing, lalu mendakwa diri mereka tahu sesuatu dan menunjukkan diri mereka faham agama dan menghukum ulama’ yang berhati-hati sebagai kolot, tidak toleran dsb. Ada juga segolongan ilmuwan yang menangkuk di air keruh, ilmuwan palsu yang diangkat kerana rapat dengan penguasa, yang tidak dapat mempertahankan kebenaran ketika ia diserang dari pelbagai penjuru tetapi mendapat pujian dan pengiktirafan atas sesuatu yang bukan hasil usahanya. Jika kita umat Islam sendiri tidak jujur kepada Allah dan diri sendiri, mengapa mengharapkan pertolongan Allah dan ingin musuh-musuh Islam bersikap adil kepada umat Islam.

Setelah umat Islam bingung, keliru dan hilang pedoman maka dengan mudah faham-faham asing seperti sekularisme, liberalisme, pragmatisme, sinkretisme, pluralisme agama, neo-sofisme, saintisme, dll memasuki relung fikiran dan jiwa umat Islam. Faham-faham ini apabila telah merasuk diri sebahagian umat Islam akan menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kebenaran Islam, skeptis terhadap Islam, merendahkan dan curiga terhadap para ulama’, bahkan tidak jarang juga yang memilih untuk menjadi ateis, agnotis atau murtad. Di sinilah tragedi bermula dan semuanya berpunca daripada kegagalan kita bersikap adil dan beradab terhadap Allah, agama-Nya dan diri kita sendiri.




Rujukan


Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972. Dan syarahan beliau sepanjang penulis berguru di ISTAC.


________. Islam and Secularism, diterbitkan oleh ABIM pertama kali pada 1978. Kuala Lumpur: ISTAC, 1993.


________. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: an Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.


Al-Ghazali, Abu Hamid. al-IqtiÎÉd fi al-I‘tiqÉd. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1983.


Ibn Taymiyyah, Ahmad Abd al-Halim. Majmu’ Fatawa Ibn Taymiyyah. Kaherah: Dar al-Fikr, 1983.


Khalif Muammar. Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, cetakan ke-2. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, 2009.


________. “Isu Herald: Ketika Agama Diheret Untuk Kepentingan Politik” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=236&Itemid=105 (20 Januari 2008)


________. “Isu Nama Allah: Isu Akidah Bukan Perebutan Nama” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=246&Itemid=170 (14 Mei 2008)


________. ”Why Non Muslim Cannot Use the Word Allah” dalam http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=1(2 Mac 2009)


Rahmah Ghazali, “Haron Speaks for Himself” dalam http://www.malaysiakini.com/news/121161


Siddiq Fadzil. ”Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah: Suatu Pernyataan Keprihatinan” dalam http://www.wadah.org.my/kenyataan-media/54-info-wadah.html


Wan Mohd Nor Wan Daud. Masyarakat Islam Hadhari: Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. Juga perbincangan peribadi dengan beliau yang dilakukan hampir setiap hari.

Saturday, October 17, 2009

Sultan Muhammad Al Fateh - Siri 2-


PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit.


Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti. Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya.

Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka. Bantuan Dari Pope Vatican Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah.Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.


Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah.

Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda.

Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya,“Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya itu.


*http://www.iluvislam.com

Sultan Muhammad Al Fateh - Siri 1-


HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam telah berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Akhirnya,hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fateh? Apakah kehebatan beliau dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.


PENGENALAN


Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN


Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

Saturday, September 19, 2009

Mahar Cinta Syawal




Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba
untuk melamar cinta Tuhannya!

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir dan Batin
kepada semua teman-teman dan pembaca blog saya.
Semoga Ramadhan yang berlalu terus
menjadi medan untuk terus menerus beribadat pada Allah.
Semoga kita dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang.
Insyaallah..


Sumber: IluvIsalam.com

Wednesday, September 16, 2009

Sekitar Program Reading Session

Assalamualaikum kepada semua.Syukur pada Allah maha Besar kerana masih bagi saya peluang untuk mengnikmati segala macam nikmat di muka bumi ini.Selawat dan salam juga pada Nabi junjungan besar kita,Nabi Muhammad kerana tanpanya mungkin kita tidak akan berada dalam zaman Islam yang baik pada hari ini.

Alhamdulillah,sampai juga masa nya untuk saya garapkan sedikit perkongsian tentang pengalaman yang selama ini terbuku dihati untuk dikongsikan bersama teman-teman.Pada 6 September yang lepas saya sempat berpeluang untuk mengikuti satu program "Reading Session" anjuran Biro Social Development, Kelab Titian Wahyu,UIAM di Sekolah Pendidikan Khas (cacat penglihatan),Setapak.

Antara tujuan dan objektif program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat kasih sayang dan bantu membantu kepada golongan kurang upaya yang selama ini kurang mendapat perhatian daripada pihak-pihak tertentu.Ini adalah saya kira pengalaman yang paling berharga pada diri yang selama ini tidak pernah terfikir untuk menyumbang bakti kepada golongan kurang upaya seperti cacat penglihatan.Program ini juga merupakan program tahunan untuk biro SD.Dibawah ini saya lampirkan beberapa gambar-gambar ketika program untuk tatapan semua.Jika sesiapa berminat untuk menabur bakti dan jasa pada masyarakat boleh menyertai kami di kelab Titian Wahyu UIAM.Kami mengalu-alukan penyertaan anda bersama kami.






Sekolah Program Reading Session



Kawasan Sekolah dari luar



Barisan sukarelawan Reading Session



Sempat berposing ye Kak Mie



Saya bersama Kevin aka anak buah saya



Bergambar bersama warden asrama




Bergambar kenangan antara peserta






*kredit to kak mie coz ambil gambar kami..