RIWAYAT HIDUP IBN KHALDUN:
Nama beliau ialah Wali al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan ibn Khaldun, dilahirkan di Tunis tahun 1332, dan meninggal dunia di Kahirah, tahun 1406. Kawasan Khalduniyah di Tunis masih ada sekarang hampir-hampir tidak berubah, dengan rumah yang dipercayai tempat kelahirannya.
Sebagaimana yang beliau sebutkan sendiri dalam riwayat hidupnya (at-Ta’rif bi’bni Khaldun) keluarganya berasal dari keturunan Khaldun yang berketurunan Arab Selatan, yang datang ke Sepanyol dalam tahun-tahun awal masa pembukaan Sepanyol oleh tentera Arab Muslimin; kemudian mereka menetap di Carmona, kemudian berpindah ke Seville dan memainkan peranan penting dalam perang-perang saudara di abad ke 9 itu, dan mereka dianggap termasuk ke dalam satu daripada tiga keluarga yang terpenting dalam kota itu.
Dalam abad-abad berikutnya keluarga Ibn Khaldun itu secara berturutan memegang jawatan-jawatan pentadbiran dan politik yang tinggi di bawah pemerintahan kerajaan Umayyah, al-Murabitun dan al-Muwahhidun; ahli-ahli lain keluarga itu berkhidmat dalam tentera dan beberapa orang dari mereka terkorban dalam peperangan az-Zallaqah (1086) yang buat sementara waktu menghentikan pengambilan kembali Sepanyol oleh tentera Kristian. Bagaimanapun selepas kejatuhan Seville, keluarga Ibn Khaldun itu berpindah ke Tunis, di mana Ibn Khaldun dilahirkan, dan juga di mana beliau mendapat pendidikan awalnya. Di sana juga, semasa dalam umur belasan tahun beliau masuk dalam perkhidmatan Sultan Mesir iaitu Sultan Barquq; bagaimanapun minatnya kepada ilmu dan pendidikan menyebabkan beliau meninggalkan perkhidmatan itu dan berpindah ke Fez; di sini timbul lama suasana tidak tenang dari segi politiknya yang ditandai dengan persaingan dari segi politik yang memberi kesan atas kerjayanya.
Masa yang tidak aman ini termasuk ke dalamnya masa tiga tahun yang di dalamnya beliau berlindung di kampung kecil Qalat ibn Salamah di Algeria, di situlah beliau berpeluang untuk mengarang kitab al-Muqaddimahnya yang terkenal itu, yang berupa jilid pertama dari kitab sejarah dunia yang menjadikan beliau mendapat nama yang kekal abadi antara para ahli sejarah, sosiologi dan falsafah. Keadaan tidak menentu dalam kerjayanya masih berterusan, dengan negeri Mesir menjadi tempat ia menetap dalam 24 tahun terakhir dalam umurnya. Di sini beliau hidup dalam keadaan mendapat kemasyhuran dan penghormatan sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Hakim dalam mazhab Maliki dan juga guru yang memberi kuliah di Universiti al-Azhar yang masyhur itu; tetapi dikatakan kedengkian menyebabkan beliau dipecat dari jawatannya sebanyak lima kali.
Dalam hidupnya Ibn Khaldun tepaksa berpindah dari suatu istana kepada sebuah istana yang lain, kadang dengan hasratnya sendiri, kadang-kadang terpaksa melakukan demikian kerana rancangan seteru-seterunya atau raja-raja yang berkuasa penuh. Beliau mendapat banyak pengajaran daripada hubungannya dengan para pemerintah, duta-duta, ahli-ahli politik dan para ulama dan sarjana di Afrika Utara, Sepanyol di bawah kerajaan Islamnya, Mesir, dan lain-lain wilayah Islam.
Kitabnya yang terkenal sekali ialah al-Muqaddimah (Pendahuluan) yang merupakan kitab terbesarnya ("masterpiece"nya) dalam persuratan tentang sejarah, falsafah dan sosiologi, termasuk pendidikan. Tema utama dari kitab yang "monumental" ini ialah untuk mengecamkan fakta-fakta psikologi, ekonomi, alam sekitar, dan kemasyarakatan yang memainkan peranan dalam proses memajukan dan mengkedepankan peradaban manusia dan perjalanan sejarahnya. Beliau membuat analisis tentang dinamika hubungan kumpulan-kumpulan dan menunjukkan bagaimana kesetiakawanan, atau perpaduan sosial (al’-asabiyyah) melahirkan satu tamadun baru dan juga kekuasaan siasah. Ia mengecamkan adanya ulangan yang berlaku hampir-hampir sebagai rentak yang sama dengan berulang-ulang dalam proses nai turun dan jatuhnya peradaban manusia dan beliau membuat analisis tentang faktor-faktor yang membawa ke arah yang demikian.(2).
Pandangan-pandangan beliau yang revolusionari dan asli itum menarik perhatian ulama dan sarjana Islam, dan juga para pemikir Barat. Dalam pemerhatiannya tentang pengajian sejarah beliau berupa sarjana pertama, pengasas, dalam meletakkan laporan-laporan sejarah di bawah dua ujian iaitu ujian kemanasabahan pada akal dan ujian undang-undang sosial dan fisikal yang diperhatikan.Beliau menunjukkan ada empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:(3)
1. menghubungkan peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah sebab dan musabab;
Dalam hidupnya Ibn Khaldun tepaksa berpindah dari suatu istana kepada sebuah istana yang lain, kadang dengan hasratnya sendiri, kadang-kadang terpaksa melakukan demikian kerana rancangan seteru-seterunya atau raja-raja yang berkuasa penuh. Beliau mendapat banyak pengajaran daripada hubungannya dengan para pemerintah, duta-duta, ahli-ahli politik dan para ulama dan sarjana di Afrika Utara, Sepanyol di bawah kerajaan Islamnya, Mesir, dan lain-lain wilayah Islam.
Kitabnya yang terkenal sekali ialah al-Muqaddimah (Pendahuluan) yang merupakan kitab terbesarnya ("masterpiece"nya) dalam persuratan tentang sejarah, falsafah dan sosiologi, termasuk pendidikan. Tema utama dari kitab yang "monumental" ini ialah untuk mengecamkan fakta-fakta psikologi, ekonomi, alam sekitar, dan kemasyarakatan yang memainkan peranan dalam proses memajukan dan mengkedepankan peradaban manusia dan perjalanan sejarahnya. Beliau membuat analisis tentang dinamika hubungan kumpulan-kumpulan dan menunjukkan bagaimana kesetiakawanan, atau perpaduan sosial (al’-asabiyyah) melahirkan satu tamadun baru dan juga kekuasaan siasah. Ia mengecamkan adanya ulangan yang berlaku hampir-hampir sebagai rentak yang sama dengan berulang-ulang dalam proses nai turun dan jatuhnya peradaban manusia dan beliau membuat analisis tentang faktor-faktor yang membawa ke arah yang demikian.(2).
Pandangan-pandangan beliau yang revolusionari dan asli itum menarik perhatian ulama dan sarjana Islam, dan juga para pemikir Barat. Dalam pemerhatiannya tentang pengajian sejarah beliau berupa sarjana pertama, pengasas, dalam meletakkan laporan-laporan sejarah di bawah dua ujian iaitu ujian kemanasabahan pada akal dan ujian undang-undang sosial dan fisikal yang diperhatikan.Beliau menunjukkan ada empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:(3)
1. menghubungkan peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah sebab dan musabab;
2. mengambil kiasan antara yang telah lalu dengan apa yang berlaku masa hadhir;
3. mengambil kira kesan dari alam sekitar dalam apa yang berlaku;
4. mengambil kira kesan daripada keadaan-keadaan perekonomian dan perkara-perkara yang diwarisi.
Ibn Khaldun memulakan pengajian sejarah secara kritikal. Beliau memberi pengajian dan penelitian secara analisis ke atas peradaban manusia, permulaannya, faktor-faktor yang membawa kepada pembangunannya, dan juga faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya. Dengan itu nampaknya beliau mula mengasaskan satu ilmu baharu, iaitu ilmu berkenaan dengan pembangunan sosial atau sosiologi sebagaimana yang dipanggil sekarang ini.Beliau menulis demikian: "Saya telah menulis dalam bidang sejarah sebuah buku yang di dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan kesan-kesan pembangunan dan perkembangan negara-negara dan peradaban-peradaban, dan saya ikuti satu cara yang bukan biasa dilakukan orang bagi menyusun bahan-bahan kitab itu, dan saya ikuti jalan yang bukan biasa dilakukan dan yang baharu dalam menulisnya”. Dengan memilih kaedah atau cara istimewa dan baharu dalam analisis , ia mencipta dua ilmu baharu iaitu Historiologi atau analisis dan kajian sejarah sebagai ilmu khusus dan juga sosiologi sekaligus.
Beliau berhujah menyuatakan bahawa sejarah adalah tertakluk kepada undang-undang sarwajagat dan ia menyatakan kriteria untuk kebenaran sejarah.
"Kaedah untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah ialah berdasarkan kepada kemungkinannya berlaku atau mustahilnya berlaku. Ertinya ialah: kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan bezakan antara ciri-ciri yang bersifat asasi yang penting dan yang tidak boleh terpisah daripadanya dalam tabiat kejadiannya dan apa yang bersifat mendatang, dan yang tidak perlu diambil kira, dengan mengenali secara lebih jauh lagi apa yang tidak mungkin menjadi milik baginya.Kalau kita lakukan ini, maka kita ada peraturan untuk membezakan kebenaran sejarah daripada kesilapan dengan cara kaedah pendalilan (‘kaedah demonstratif’) yang tidak ada syak lagi padanya.Ianya dasar yang murni yang dengannya ahli sejarah boleh mengesahkan apa-apa yang mereka laporkan." (4).
Oleh kerana beliau memberi penekanan kepada akal fikiran dan keperluannya dalam menghakiki sejarah dan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan, setengah sarjana mendakwa beliau cuba menolak pengetahuan agama yang biasa dan konvensyenal dan menggantikannya akal fikiran dan falsafah rasional. Ini tidak berasas samasekali.Boleh diperhatikan bahawa setengah alirah erfikir mengajar perkara-perkara yang tidak rasional tetapi ini bukan sifat Islam yang selalu memberi penekanan kepada pemerhatian dan pencerapan serta pemikiran, dan iana memberi peringatan kepada mereka yang tidak membawa iman kerana tidakmenggunakan akal fikiran dan renungan.
Dalam Surah al-Baqarah: ayat 164 terdapat ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dalam pergantian siang dan malam, dan berlayarnya kapal-kapal melalui lautan untuk faedah umat manusia, dan hujan yang Tuhan turunkan dari langit, dan kehidupan yang diadakanNya melaluinya kepada bumi yang mati, dan haiwan-haiwan semua jenisnya yang ada di serata bumi, dan perubahan angin dan awan yang mengekori yang ditundukkan antara langit dan bumi - (di dalam ini semuanya) sesungguhnya ada tanda-tanda bagi orang-orang yang bijaksana dan berfikir”.
Dan dalam (2.170), ada ayat yang bermaksud:” Bila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang Allah telah wahyukan". Mereka berkata: 'Tidak: kami akan ikuti jalan-jalan datuk nenek kami". Apa? walaupun datuk nenek mereka tidak mempunyai mempunyai ilmu kebijaksanaan atau akal serta bimbingan?
Tentang kaedah penyelidikan beliau memberi penekanan tentang perlunya perkara-perkara kemasyarakatan dan peristiwa sejarah diberi analisis secara saintifik dan objektif. Beliau menyatakan bahawa semua yang berlaku dalam sejarah dan mesyarakat itu bukannya hasil daripada perkara-perkara yang berlaku secara berkebetulan, tetrapi semuanya dikawal oleh undang-undangnya yang tersendiri, undang-undang yang boleh dicari dan didapati dan kemudian boleh diaplikasikan dalam penyelidikan tentang masyarakat, tamadun dan sejarah.Beliau menyatakan bahawa para ahli sejarah membuat kesilapan dalam penyelidikan mereka tentang peristiwa sejarah kerana tiga faktor.
1. kejahilan mereka tentang hakikat dan keadaan peradaban dan umat manusia;
2. sikap prejudis atau prasangka mereka;
3. sikap mereka bertaklid mengikut laporan-laporan yang diberi olehorang lain tanpa usul periksa.
Ibn Khaldun menunjukkan bahawa kemajuan yang sebenarnya serta pembangunan datang melalui kefahaman yang tepat tentang sejarah dan kefahaman yang tepat dan benar itu boleh dicapai melalui pemerhatian terhadap tiga perkara penting.
1. Seseorang ahli sejarah itu hendaklah jangan ada prasangka dengan apa cara sekalipun samaada pro atau kontra terhadap sesuatu perkara samaada manusia atau idea.
2. Seseorang itu hendaklah mengesahkan dan memeriksa laporan-laporan yang didapati. Ia hendaklah mempelajari apa yang boleh dipelajari seboleh-bolehnya berkenaan dengan ahli-ahli sejarah dan laporan-laporan yang didengari dan dibaca, dan seseorang itu hendaklah memeriksa akhlak mereka yang berkenaan serta adakah mereka itu beramanah dalam ilmu sebelum diterima laporan-laporan mereka.
3. Seseorang itu hendaklah jangan membataskan sejarah kepada penelitian tentanhg sejarah politik dan ketenteraan sahaja ataupun berita-berita berkenaan dengan para pemerintah dan negara-negara sahaja.Ini kerana sejarah bukan sahaja terdiri daripada yang demikian sahaja bahkan terdiri daripada penelitian terhadap suasana-suasana kemasyarakatan, keagamaan dan perekonomian.
Al-Muqaddimah itu dikenali sebagai kitab yang penting semenjak dari masa hayat pengarangnya sendiri lagi.Jilid-jilid kitabnya yang lain itu berbicara berkenaan dengan sejarah dunia - Kitab al-‘Ibar - membicarakan sejarah bangsa Arab, sejarah para penguasa semasa, penguasa-penguasa Eropah sezaman dengannya, sejarah Arab zaman purba, Yahudi, Yunani, Rom, Parsi purba, dan sejarah islam, dan sejarah Mesir dan sejarah Afrika Utara, terutamanya sejarah bangsa Barbar dan kabilah-kabilah yang berdekatan. Jilid terakhir al-Tasrif, sebahagian terbayaknya membicarakan hal kehidupan beliau sendiri. Sebagaimana halnya dengan kitab-kitabnya yang lain, ianya ditulis dari segi perspektif analitikal dan memulakan cara baharu dalam menulis seni biografi. Kitab yang ditulisnya tentang ilmu hisab tidak didapati.
Ringkasnya, pengaruh Ibn Khaldun dalam sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, sains politik, dan pendidikan -pendeknya jasanya dalam epistemologi Sunni - kekal dan mendominasi sampai ke zaman kita ini. Beliau juga diakui sebagai pemimpin dalam menulis biografi dan pembaharu dalam pendidikan dan psikologi pendidikan serta penulisan persuratan yang indah dan tinggi kualitinya dalam Bahasa. Buku-bukunya telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa Barat dan Timur, dan menimbulkan pengaruh dalam perkembangan ilmu-ilmu. Al-Muqaddimahnya ada terjemahannya dalam Bahasa Melayu (terbitan DBP) dan Bahasa Indonesia selain daripada terjemahan Inggerisnya yang terkenal oleh Franz Rosenthal dalam tiga jilid itu.
Sumber : http://uthman-elmuhammady.blogspot.com
2 comments:
ASSALAMUALAIKUM..pada pihak admin,minta izin share ya untuk tugasan di universiti..boleh?
assalamualaikum..pada admin,,mohon share..untuk tugasan..boleh?
Post a Comment