Friday, August 21, 2009

Ramadhan wujudkan persefahaman ummah



DALAM pelbagai kemelut dan polemik yang kita lalui, seluruh umat Islam akan bertemu dengan bulan paling mulia, penuh barakah, keampunan dan pembebasan daripada azab neraka. Walau apa keadaan dan kesediaan kita, kitaran masa yang diatur pasti akan menemukan kita dengan Ramadan yang penuh ganjaran ini.

Persoalannya kini, adakah kita mampu menggarap kekuatan Ramadan itu lebih daripada peranannya sebagai sebuah bulan puasa, bulan ibadah dan bulan kesihatan semata-mata? Malah, ada pula yang nakal dengan melihat Ramadan sebagai bulan ‘gastrik’, bulan ‘prestasi menurun’ dan bulan ‘kedai buka separuh’.

Kita selaku rakyat yang bertamadun, Islamik dan berdaya saing harus melihat Ramadan daripada perspektif berbeza. Ramadan sebenarnya cukup berperanan sebagai pembina insan yang kita cari selama ini. Ia juga sebagai platform terbaik ke arah penyatuan hati umat Islam.

Pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada peristiwa Perang Badar (Badr al-Kubra) menyaksikan kepada kita apa yang disebut sebagai suntikan semangat buat umat seluruhnya.

Namun, berteraskan keberkatan ketahanan puasa, dan ketaatan kepada Rasulullah SAW serta keimanan kepada Allah SWT, mereka mampu menang dan memacakkan bendera kegemilangan Islam ketika itu.

Kekuatan modal insan seperti inilah yang kita mahu garap. Pada hari ini, kita mengharapkan agar seluruh tenaga digembleng untuk memperkasakan modal insan berkualiti buat negara. Inilah aset sebenar negara. Melihat kepada indeks prestasi negara kini, kita amat berpotensi untuk maju dengan kemajuan infrastruktur setaraf Barat.

Di sinilah kita, selaku rakyat berprinsip, melihat seluruh pelaksanaan program yang dijalankan kerajaan mahupun mana-mana pihak terhadap pembangunan insan, khususnya belia sebagai program yang wajar disokong dan dibantu dengan kapasiti kita sebagai individu, keluarga, ketua masyarakat, sektor swasta, dan penggerak badan bukan kerajaan (NGO).

Persepsi negatif seperti menganggap program belia sebagai instrumen politik sesebuah pihak wajar dikikis, demi melihat maslahah (kepentingan) dan kejayaan umat seluruhnya kekal terjaga dan terbela. Melihat kepada akar permasalahan yang melingkari umat pada hari ini, mahu atau tidak kita sangat memerlukan kepada satu wadah untuk menyatukan umat.

Masyarakat Melayu Islam di negara ini harus menyemat di hati bahawa segala kemelut perbezaan prinsip dan ideologi perlu diselesaikan dengan mencari titik persamaan antara satu sama lain demi menjaga survival umat dan masa depan generasi akan datang.

Sebagai contoh, antara resolusi yang dicapai dalam Kongres Pelajar dan Teras-Teras Kenegaraan yang dianjurkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini, betapa perlunya usaha untuk kembali semula kepada teras dan nilai agama Islam yang dapat mewujudkan persamaan serta persefahaman antara semua pihak.


Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru agar semua pihak bersatu dan berpadu dalam menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai azam baru menggandakan program muhasabah, program kepemimpinan dan program kecemerlangan akademik, demi mengambil barakah yang melimpah-ruah pada bulan mulia ini.

Kita mohon bersama-sama agar usaha kita untuk mengangkat kembali martabat generasi muda kita hari ini kian diberi kekuatan dan bantuan Allah. Segala persengketaan politik, kekalutan persaudaraan, serta kecelaruan polemik wajar dihentikan demi memberi laluan kepada Ramadan, ‘Bulan Pembinaan Insan, Medium Penyatu Umat’.




MOHD AKMAL AFIQ MOHAMAD,
Timbalan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Wednesday, August 19, 2009

Kasihku Pada Ramadhan






Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu
kembali menjengah
hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa
Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu
Ramadhan
syarul Syiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatanya
Mutakkabir
Ramadhan
syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat
lalu,haruskah aku membiarkan malam-malammu
berlalu sepi tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim
Ramadhan
syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat
Yang Maha Agung
Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah yang mulia disisi-Nya
Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku
Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku
Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH

sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

Monday, August 3, 2009

Bingkisan Peringatan



Di kesibukan sebuah kota yang terkenal dengan kehandalan di medan peperangan, terdengar hingar-bingar orang di sana sini menjaja apa sahaja yang mereka ada.

"Murah-murah...lembing ini kayunya kayu kokka, terkenal khasiat zaman berzaman, runcingnya besi tembaga, tikaman pasti ke kuburan...!!" "Mari-mari beli ini pedang, sekali hayun terbelah dua, acapkali diguna sang badang, buat senjata memburu naga...!!" Demikian berpantun-pantun mereka menjaja alatan senjata untuk kegunaan pemuda perajurit di medan pertempuran.

Di tengah-tengah kebingitan itu, lalu seorang hamba Allah yang warak sedang memerhatikan gelagat manusia. Akhirnya terpaut hatinya pada seorang lelaki yang menjaja alatannya tadi.

"Mari-mari datang ke sini, andai terlepas pastinya rugi, hamba kembara seluruh negeri, menjaja hanya pada yang sudi."

"Di tangan kanan hamba perisai sakti, dicurah air gunung Indera puri, menahan segala yang dengki, tiada tercalar merekah apatah lagi."

"Pedang keramat di tangan kiri, disadur racun berbisa sekali, membelah sebarang sudahlah pasti, boleh mencuba kalau berani."
Pendek kata, lelaki ini mempromosikan pedangnya yang dikatakan mampu membelah apa sahaja, dan perisainya yang mampu menahan apa sahaja serangan.


Terpaku orang ramai mendengar kehebatan kedua-dua senjata itu, tapi hendak memilikinya bukan kemampuan kerana harganya melampaui jangkauan, hanya yang mampu mereka yang hartawan. Ketika orang ramai masih kagum dengan kehebatan senjata itu, hamba Allah yang warak itu keluar daripada kelompok orang ramai dan tampil ke hadapan berjumpa dengan lelaki tersebut. Dia berkata "Saudara, jika benarlah seperti yang digembar-gemburkan itu, maka cubalah belah perisai saudara dengan menggunakan pedang di tangan yang satu lagi itu." Ungkapan hamba Allah ini membuatkan lelaki ini terdiam, dan sedikit demi sedikit orang ramai meninggalkan dia yang tersentak di situ.

Moral : Jangan bermanis mulut sehingga berlebihan dalam mengkhabarkan sesuatu perkara

Sunday, August 2, 2009

KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN 2009


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.


Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.


PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.


Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.


Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.


Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.


Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;

”Kepentingan Memahami Peranan dan Sumbangan Islam dalam Pembinaan Teras Kenegaraan”

Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM
Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM


2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional?”

Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM

Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP

2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM


3. ”Integriti dan Pembinaan Jatidiri”

Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM

Pengulas: 1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS

2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM


4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”

Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM

Pengulas: 1. En. Daniel Alexander, TAC

2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM


Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.


PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.


Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.com. Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com.


Oleh:

KHAIRUL ANWAR SHAZALI

Setiausaha Agung PKPIM

Merangkap;

Pengerusi Jawatankuasa Induk

Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke 48 dan

Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009