Wednesday, May 19, 2010

PERSIAPAN DAIE



MUQADDIMAH

Sesebuah Harakah Islamiyah perlu didukungi oleh para da’ie yang berkemampuan dan sentiasa bersedia dalam melakukan usaha-usaha ta’rif (dakwah), takwin (tarbiyah), tanfiz (pelaksanaan tugas) dan tamkin (pengukuhan).

Dalam menjalankan kegiatan dakwah, setiap da’I hendaklah memiliki beberapa persiapan yang perlu untuk memastikan mereka akan terus istiqamah di atas jalan perjuangan ini.

Di antara persiapan-persiapan yang perlu diberikan perhatian ialah:

PERSIAPAN ILMU

Senjata pertama yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah persiapan ilmu.

Secara keseluruhannya, setiap da’ie perlu memahami persoalan aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh serta persoalan dakwah dan jihad yang mencakupi proses pembentukan jamaah, pelaksanaan dakwah, pelaksanaan sistem pendidikan, sosialisasi masyarakat, dan penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran, al-Sunnah dan sejarah Islam.

Sekurang-kurangnya setiap da’ie berkewajipan mengetahui ajaran dan sistem hidup Islam secara umum, pendekatan dakwah yang sesuai digunakan dalam menghadapi masyarakat, perkembangan politik semasa.

Sebagai para pendokong ahli gerakan Islam, setiap da’ie hendaklah memahami penubuhan, perlembagaan, pengurusan dan pentadbiran gerakan yang diperjuangkannya.

Demi kebebasan dakwah, setiap da’ie perlu mengetahui ilmu dan selok-belok dakwah seperti uslub dakwah, sasaran dakwah, kandungan dakwah, strategi dakwah, perancangan dakwah dan pengurusan dakwah.

Sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu di atas, seseorang da’ie juga perlu menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti bahasa Arab, ilmu Usuluddin, Usul al-Fiqh, ilmu Maqasid al-Syariah, Fiqh al-Awlawiyat serta sejarah pemerintahan dan pembinaan hukum Islam.

Kemantapan ilmu akan menjadikan para da’ie lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran yang jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran Islam dan hukum-hukum Islam yang bersifat ilmiah dan semasa.

PERSIAPAN MENTALITI

Di antara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah sifat bijaksana (fatanah) iaitu mempunyai daya berfikir yang tinggi dalam mengembangkan fikrah dakwah, membahagikan tugasan, menyelesaikan masalah,mengenalpasti kelemahan, mencari sasaran, membuat keputusan dan mengambil peluang daripada sesuatu kesempatan yang berkaitan dengan kepentingan dakwah Islam yang diperjuangkannya.

Seseorang da’ie yang telah memiliki persiapan ilmu yang memadai, mempunyai banyak pengalaman daripada usaha-usaha dakwahnya, bijaksana dalam memupuk daya kepimpinannya secara langsung akan memiliki mentaliti yang tinggi dalam mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman, taktik dan strategi yang berkesan dalam memimpim gerakan dakwah ke arah mencapai visi, misi dan objektif yang telah ditetapkan.

PERSIAPAN JASMANI

Setiap da’ie berkewajipan menjagai kesihatan jasmani dengan cara mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat.

Lantaran itu, setiap da’ie berkewajipan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada dirinya seperti serap meminum minuman yang manis, makan banyak dan merokok.

Setiap da’ie juga berkewajipan mempertingkatkan kekuatan dan ketangkasan anggota jasmaninya melalui latihan-latihan yang tertentu seperti bersenam, berenang, menembak dan mendaki gunung.

PERSIAPAN ROHANI, AKHLAK DAN DAYA KEPIMPINAN

Di antara persiapan rohani yang perlu dimiliki oleh para da’ie ialah meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat, mempertingkatkan kesucian jiwa dengan sifat wara’ dan amalan ketaatan, sabar dalam menanggung ujian dakwah serta merindui keampunan dan keredhaan Allah.

Manakala akhlak pula perlu dipersiapkan dengan cara membersihkannya daripada sifat marah dan keras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan adab-adab yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasulullah s.a.w.

Berhubung dengan persiapan daya kepimpinan pula, setiap da’ie mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman dan daya kepimpinan orang lain.

Seseorang da’ie yang memiliki persediaan di atas adalah diharapkan lebih berjaya dalam mempengaruhi masyarakat dan seterusya mencapai matlamat dakwah.

Monday, May 17, 2010

USLUB DAKWAH


MUQADDIMAH

Uslub dakwah merupakan satu istilah yang tidak pernah lekang dari bibir setiap petugas dakwah. Oleh kerana ia telah menjadi suatu perkara yang biasa disebut, maka ia tidak lagi berhajat kepada penghuraian.

Lantaran itu, hampir setiap pendakwah mentafsirkan uslub dakwah menurut kacamata mereka masing-masing, sesuai dengan perkumpulan yang mereka wakili.

Dari situ satu huraian lengkap berhubung dengan uslub dakwah diperlukan bagi menjamin seseorang pendakwah itu tidak menyeleweng dari landasan penafsiran. Ianya mestilah bermula dari Al-Quran yang telah dijamin kebenarannya oleh Allah s.w. t.

USLUB DAKWAH MENURUT AL-QURAN

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl: 125)

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.

Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka. Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah.

Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah kecenderungan membincangkan uslub terlebih dahulu. Setelah mereka berselisih dalam persoalan uslub dakwah, bagaimana mereka boleh bersatu dalam menjalankan tugas dakwah.

Usaha menentukan uslub siapa yang lebih betul sudah cukup membuang masa seseorang petugas Islam. Sedangkan Tuham menyuruh mereka memulakan tugas dakwah terlebih dahulu, kemudian dalam mengolah dakwah barulah timbul persoalan.

Sebagaimana yang kita sebutkan sebentar tadi, perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Ma’idah: 35)

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah. Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub.

Dari itu, kesimpulan yang boleh kita buat ialah uslub bermaksud teknik-teknik yang boleh digunakan bagi mencapai sesuatu matlamat. Berdasarkan kefahaman ini ia lebih merujuk kepada pengertian yang agak khusus dan agak tertumpu kepada unsur -unsur kepakaran dalam menjalankan sesuatu tugas.

Jika disatukan pengertian ini dalam konsep gabung jalin antara kalimah uslub dan dakwah, maka ia bermaksud teknik-teknik yang perlu diambil kira dalam proses menyampaikan dakwah dan menyeru manusia kepada jalan Allah atau lebih khusus lagi kepada pengabdian diri kepada Allah, menjauhi taghut, melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah

Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka. Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya.Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

a)Hikmah

b)Nasihat-nasihat yang baik

c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik