Friday, September 11, 2009

MEMAHAMI KONSEP MURABBIY DALAM DIRI PENDAKWAH

(http://www.mindamadani.my)


Konsep “Murabbiy” dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap “muallim”. Muallim bermaksud pengajar, lebih menjurus kepada seorang pengajar atau guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Tetapi, konsep “Murabbiy” merujuk kepada Pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, Murabbiy akan memastikan sesuatu ilmu itu dihayati sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbiy berlegar di “hati”. Perumpamaan yang boleh diketengahkan di sini ialah Muallim adalah orang yang bertugas mengumpulkan bahan masakan sepeti tepung, gula, garam dan rempah ratus. Manakala Murabbiy adalah diumpamakan seperti seorang tukang masak yang mahir berkemampuan mengadun dan membancuh tepung hingga berjaya dimasak menjadi kuih/hidangan yang enak.

KONSEP MURABBIY DALAM GERAKAN
Dalam gerakan Islam khususnya gerakan pelajar seperti PKPIM, peranan melahirkan kepimpinan bertaraf Murabbiy mempunyai signifikasi dan kepentingan besar terhadap gerakan dari aspek membangun kepimpinan pelapis dan kaderisasi. Kegagalan melahirkan kepimpinan kampus mahupun Jawatankuasa Pusat serta Badan Gabungan Negeri yang mempunyai ciri-ciri Murabbiy boleh membawa kepada kepincangan Tanzim Haraki dan menyebabkan berlakunya gejala penyakit;

a. kelesuan gerakan.

b. wujud “one man show” atau kepimpinan dikuasai oleh kelompok tertentu.

c. membawa kepada gejala kelesuan dan kegersangan ahli baru seterusnya membatutkan perkembangan kaderisasi.

d. menjadikan sesuatu gerakan lebih bersifat “program oriented” berbanding untuk menjadi gerakan yang “mission oriented”.

e. akan wujud ahli-ahli yang gugur “mutasaqitun fi thoriqud dakwah”

f. menghadapi masalah penerusan kepimpinan. Akan wujudlah “vacuum” dalam proses transisi; dan lain-lain hingga boleh membawa kepada gejala keruntuhan jemaah/gerakan.


Justeru itu, kepimpinan bersifat “Murabbiy” adalah penting dan menjadi teras terutamanya dalam gerakan dakwah pelajar. Suasana pelajar/ mahasiswa yang masih dalam proses “learning and education” atau masih di peringkat Tarbiyah, amat memerlukan kehadiran “Murabbiy” sebagai pembimbing atau pendidik kepada mereka. Oleh yang demikian PKPIM mengambil langkah pro-aktif menginstitusikan “Murabbiy” bagi setiap unit gabungannya bagi memastikan dakwah Islamiyyah mengakar keumbinya.


CIRI-CIRI KEPIMPINAN /PENDAKWAH - Murabbiy

Asas pembinaan seorang “Murabbiy” berkait rapat dengan konsep pembinaan Pendakwah. Berbicara tentang Dakwah dan Pendakwah dalam Islam, semestinya elemen “Murabbiy” / pendidik tidak boleh dipisahkan. Berikut dikemukakan beberapa pandangan tokoh dan ulama’ dalam membinan asas keperibadian unggul Pendakwah.

1. Buku : Gerakan Islam: Kepimpinan – Syura –Tarbiyah, Zawawi Ali dan Mohammad Kamil Abdul Majid, menyatakan antara sifat-sifat Qiyadah dalam membimbing Harakah masakini perlu berteraskan ciri-ciri dan sifat kepimpinan Rasullullah s.a.w iaitu:

a. Keberanian dan keazaman yang kukuh.

b. Sabar dan berpendirian teguh – dalammengharungi segala rintangan, ujian dan siksaan kaum Quraish terhadap dirinya.

c. Keadilan dan Persamaan – Rasulullah s.a.w seorang yang bersifat adil dan mewujudkan persamaan contohnya Baginda turut sama dalam melaksanakan pembinaan Masjid pertama di Madinah. Baginda juga turut menggali Khanda / parit dalam peristiwa Ahzab.

d. Peribadi dan Watak yang Sempurna – keperibadian dan budipekerti Rasulullah s.a.w amat meyakinkan.

Sheikh Fathi Yakan, Musyhkilatu da’wah wad-da’iyah menulis tentang sifat-sifat pendakwah sepertimana berikut:

a. Kebersihan Jiwa dan Rohani
- perlu sentiasa ikhlas
- sentiasa mengingati Allah swt.
- Selalu memperbaiki ibadahnya, membanyakkan amalan sunat dan - tidak meninggalkan tahajjud.

b. Kesihatan Badan dan Kekuatannya

-Menjaga kesihatannya kerana kepimpinan dan pendakwah penuh dengan pemikiran, kerja dan perjuangan yang bersambung-sambung dan tidak henti-henti.

c. Keupayaan Akal dan Fikiran

- Pemimpin, fikiran dan mindanya haruslah terdiri dari pelbagai bahan tidak hanya terhad kepada ilmu Islami sahaja tanpa mendalami ilmu-ilmu lain.

- Berupaya juga menganalisis persekitaran dengan menggarapkan ilmu pengetahuan dan maklumat yang sedia ada dengan menjadikan pengalaman sebagai panduan berteraskan kepada Al-Quran & As-Sunnah.

Seterusnya beliau menambah bahawa ada beberapa sifat-sifat yang perlu bagi Pimpinan:

a. Mengenali Dakwah – mengenali organisasi dan matlamat perjuangan (ada hubungan)

b. Mengenali Jiwa – mengetahu kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya sendiri

c. Perhatian kepada ahli-ahli – mengambil tahu hal-ehwal pengikut.

d. Tauladan yang baik (al-Qudwatul Hasanah)

e. Pandangan yang tajam – tidak mempunyai sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas.

f. Kemahuan yang kuat

g. Daya Tarikan semulajadi

h. Optimisma

Sayyid Sabiq juga menyatakan berkenaan sifat pemimpin seperti berikut:

a. Seorang pemimpin itu mesti selalu membuat musyawarah dan jangan membuat keputusan sendiri.

b.Hendaklah seorang pemimpin itu bersifat lemah-lembut dan pengasih kepada pengikut-pengikutnya.

c. Dalam konteks melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, hendaklah pemimpin itu melarang ahli-ahlinya daripada melakukan maksiat.

d. Hendaklah seseorang pemimpin itu menghubungi pengikut-pengikutnya dan mengetahui keperluan mereka.

e. Hendaklah pemimpin itu menyerahkan tugas-tugasnya bertepatan dengan orang yang selayaknya.

REALITI KAMPUS & GERAKAN

Suasana generasi muda yang dihadapi oleh pendokong-pendokong gerakan dan pendakwah kini amat mencabar kerana pengaruh besar globalisasi, kesan-kesan negatif post-modernism disamping ancaman unsur-unsur percubaan mengurangkan Imej Islam serta imej negatif “dakwah” yang dijuruskan oleh barat sebagai Terrorisme. Generasi muda kini juga lebih bersifat “metrialistik” dan tersadur dengan budaya “simplistic” yang membawa kepada meluasnya budaya “hendonisme” sehinggga menyebabkan hilang jatidiri dan merosakkan – jasmani, rohani, fizikal dan mental. Wujud juga usaha-saha merobotkan Generasi muda dan unsur-unsur tidak langsung yang bersikap melemahkan tahap keintelektualan Mahasiswa. Disamping itu wujud tekanan-tekanan semasa daripada pihak berautoriti.

Justeri itu, suasana kini, menjadikan suatu keperluan bagi mewujudkan pendakwah / kepimpinan yang bersifat “Murabbiy” dengan melaksanakan pendekatan Dakwah Bil-Hal dan bersabar serta berstrategi dalam bergerak.

Rasulullah tetap terus bersabar ketika berdakwah dan berdoa:

Ertinya : “Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak menegerti”.

Dalam pengertian ini al-Iman Asy-Syahid Hassan al-Banna berkata:

“Jadilah kamu ketika (menyeru) manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia menggugurkan buah kepada mereka”.

Renungan : Syair gubahan Abi Al-Aswad Addualy:-

“Wahai orang yang memberi pelajaran kepada orang lain, mulailah dari dirimu sendiri hingga kau berilmu,
Engkau memberi ubat kepada orang sakit hingga baik, sedangkan kau sendiri berpenyakit;
Maka mulaikah denganmu, cegahlah dari kelalaian, jika selesai maka kaulah seorang yang arif bijaksana;
Pastilah orang akan mengikuti, jika engkau mengajak dan menjalankan apa yang engkau dakwahkan, dan menerima semua ajaran-ajaranmu;

Janganlah melarang perbuatan sedangkan engkau sendiri mengerjakannya, aib besar bagimu jika kau lakukan itu.”

Wednesday, September 9, 2009

Islamic Worldview

Pandangan Sarwa

Istilah worldview atau weltanschauung sering diterjemahkan dengan ungkapan yang berbeza-beza seperti pandangan sarwa, pandangan jagat, pandangan dunia dan pandangan hidup. Yang dimaksudkan dengan worldview pada umumnya ialah persepsi, perspektif, tanggapan, tasawwur atau mental attitude (sikap mental) terhadap segala sesuatu. Persepsi sesuatu bangsa terhadap segala sesuatu atau alam semesta biasanya dicirikan oleh agama atau budaya yang dianuti. Kerana itu worldview kadang-kadang ditakrifkan sebagai, “the way people characteristically look outward upon the universe.” (Redfield, R., The Primitive World and its Transformation, 1966, hlm. 85).

Dalam kaitan ini apa yang disebut sebagai pandangan sarwa Islam; atau Islamic worldview itu biasanya diertikan sebagai “how Islam looks at things”, yakni bagaimana Islam melihat segala sesuatu. Penjelasan tentang Islamic worldview seperti itu sebenarnya tidak memadai, malah mungkin mengelirukan. Kerana itu huraian Prof. Syed Naquib al-Attas mengenai hal ini memang sangat relevan. Menurut beliau worldview dari perspektif Islam tidak hanya pandangan minda (mind’s view) terhadap alam fizikal atau penglibatan sosial, politik, budaya dan sejarah manusia di dalamnya; sebagaimana yang tergambar dalam ungkapan Arab nazrat al slam li al-kawn yang membawa maksud penglihatan Islam terhadap alam (fizikal). Pentakrifan pandangan sarwa Islam seperti itu dinilai tidak tepat kerana dengan menggunakan istilah nazrat, seolah-olah worldview Islam hanyalah spekulasi falsafah yang berasaskan semata-mata pada pengalaman inderawi dan data-data yang tampak di mata.

Demikian juga dengan pemakaian istilah kawn (alam fizikal) yang membawa implikasi seolah-olah worldview Islam hanya terbatas pada dunia inderawi dan alam ciptaan (created things). Cara pentakrifan sedemikian itu jelas memperlihatkan pengaruh pemikiran saintifik-sekular Barat moden. Worldview Islam merentas alam fizikal, meliputi alam-alam dunia dan akhirat.

Worldview Islam sebenarnya amat terkait dengan persoalan realiti atau haqiqah, yakni kebenaran dalam erti yang setulen dan seluasnya. Realiti dalam konteks worldview Islam adalah lebih luas dari cakupan istilah waqi’iyyah yang terbatas hanya pada fenomena peristiwa-peristiwa faktual, tidak meliputi segala yang terkandung dalam istilah haqiqah itu.

Dalam hubungan ini worldview dari perspektif Islam menurut Prof. Syed Naquib al-Attas ialah, “vision of reality and truth”, yakni wawasan realiti dan kebenaran yang tampak pada mata akali tentang segala yang wujud. Bertolak dari kenyataan tersebut Prof. al-Attas mendefinisikan worldview Islam sebagai, “ru’yat al-Islami li al-wujud atau wawasan/visi Islam tentang segala kewujudan.” (Al-Attas, S.M.Naquib, The Worldview of Islam: An Outline, 1996, hlm. 25-26)

Pandangan Sarwa Islami (Islamic Worldview): Tauhid dan Implikasinya

Worldview adalah bahagian terpenting daripada ajaran Islam. Ia menentukan bagaimana seseorang Muslim itu melihat, mendekati dan berinteraksi dengan segala sesuatu dalam kehidupannya. Apabila seseorang itu bertukar agama, maka perubahan paling mendasar yang dialaminya ialah perubahan worldview. Demikianlah erti dan implikasi proses pengislaman sesuatu umat, iaitu perubahan dan anjakan dari worldview pra-Islam kepada worldview Islam. Dengan demikian persepsinya tentang Tuhan, manusia, alam, kehidupan dan segalanya adalah berdasarkan worldview Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pandangan Sarwa Tauhidik

Tuhan bagi orang Islam bukan lagi dewa dan bukan lagi semangat pada objek-objek tertentu, tetapi Allah s.w.t., Tuhan Rabb al-’Alamin (Tuhan seluruh dan seisi alam), Tuhan Yang Maha Tinggi (al-A’la), Maha Pencipta (alladhi khalaq), Maha Penyempurna (fasawwa), Maha Pengatur (alladhi qaddara) dan Maha Pembimbing (fahada) – Surah al-A’la: 1-3). Tuhan bukan bahagian dari alam, tetapi di luar alam dalam erti Divine transcendence. Ia juga bukan sekadar suatu idea yang abstrak tetapi kekuatan dinamis yang menyatakan kekuasaan dan kebesaran ketuhanan-Nya menerusi nama-nama-Nya yang 99 (al-Asma’ al-Husna), dengan penekanan pada keesaan dan kelainanNya daripada segala sesuatu (al-Syura: 11).

Kerana penekanannya yang istimewa pada tauhid (pengesaan Tuhan) maka worldview Islam selalu disebut tauhidic worldview. Memang keesaan Allah (Tuhan yang bersifat Ahad) merupakan teras ajaran Islam. Kesaksian terhadap tauhid merupakan inti kalimah syahadat (Ashhadu an la ilaha illa ‘Llah: Aku naik saksi bahawa tidak ada tuhan, melainkan Allah). Ungkapan syahadat (penyaksian) tersebut membawa pelbagai implikasi besar terhadap kehidupan seseorang Muslim.

Tauhid mempunyai dua dimensi, tauhid rubbubiyyah dan tauhid uluhiyyah. Tauhid rubbubiyyah bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai al-Rabb, satu-satu Tuhan Yang Mencipta, Menyempurnakan, Memberi aturan dan petunjuk kepada seluruh alam dan manusia sebagai khalifah-Nya di bumi. Tauhid uluhiyyah pula bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai al-Ma’bud, satu-satunya Tuhan Yang Disembah oleh manusia selaku ‘abdu’Llah (hamba Allah).

Faham tauhid dalam kedua-dua dimensi tersebut membawa implikasi bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan tumpuan rasa hormat, syukur, cinta, takut, setia, pengabdian, kebaktian, asal (dari mana manusia datang) dan kesudahan (ke mana ia akan pulang). Selain sebagai satu-satunya tumpuan, Allah juga adalah satu-satunya sumber nilai, aturan, petunjuk dan ilmu.

Ungkapan kalimat syahadat (la ilaha illa ‘Llah: tiada tuhan melainkan Allah) adalah merupakan deklarasi pembebasan manusia dari segala bentuk pengabdian sesame makhluk. Di samping itu ia juga merupakan deklarasi komitmen manusia untuk melaksanakan kehendak-kehendak Allah baik dalam hubungan vertical (hubungannya dengan Tuhan) mahupun dalam hubungan horizontal (hubungannya dengan sesame manusia dan alam). Bagi manusia Muslim, segala perintah dan kehendak Tuhan itu menjadi nilai-nilai hidupnya yang kudus dan abadi.

Tauhid pada hakikatnya bukan sekadar suatu faham atau idea yang hanya bersifat konseptual. Sebenarnya ia adalah suatu kaedah integrasi (pemaduan) yang sebaik-baiknya. Penghayatan tauhid dapat menghasilkan kesepaduan peribadi manusia (integrated personality). Keperibadian yang sepadu ialah keperibadian yang dicirikan oleh keserasian yang harmonis di antara pemikiran, perasaan, cita rasa dan perlakuan. Tidak ada konflik atau percanggahan di antara pemikiran dengan perlakuan, di antara cita rasa dengan pemikiran atau seumpamanya.

Keperibadian yang mengalami percanggahan-percanggahan adalah keperibadian yang pecah (split personality) dan ia bukan keperibadian yang dicerna oleh tauhid. Demikianlah manusia tauhidik selamanya dalam kesepaduan yang menepati semangat ayat “sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku (seluruhnya) semata-mata kerana Allah, Tuhan sarwa alam”. Manusia tauhidik memang tidak mengenal dualisme seperti beribadat kerana Allah, tetapi bekerja kerana yang lain.

Sebagai kaedah integrasi, tauhid juga dapat membawa kesatuan umat manusia. Dilihat dari perspektif tauhid, manusia dari segala bangsa dan warna adalah warga keluarga besar anak-cucu Adam a.s., dan semuanya adalah hamba dan makhluk Tuhan Yang Maha Esa. Lebih daripada itu tauhid juga membawa semangat kekeluargaan dan keharmonian di kalangan segala jenis makhluk warga alam, termasuk manusia dan persekitarannya.

Tidak kurang pentingnya ialah tauhid sebagai kaedah integrasi ilmu. Kesepaduan ini adalah berasaskan hakikat bahawa satu-satunya sumber ilmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, dan semua cabang ilmu adalah bermatlamat untuk pengabdian kepada-Nya.

Demikianlah worldview Islam tentang Tuhan. Usaha pendakwahan dan pendidikan Islam di mana-mana umumnya sangat menekankan pembentukan worldview. Ini dilakukan menerusi tradisi pengajian agama yang melibatkan pelbagai disiplin ilmu terutama usuluddin, tasawwuf, tafsir dan hadith. Dalam konteks masyarakat kita, manuskrip Melayu tertua (abad 16M), al-’Aqa’id al-Nasafiyyah adalah sebuah kitab yang kandungannya tidak lain dari worldview tauhidik.

Sumber : http://drsiddiqfadzil.blogspot.com/

Tuesday, September 8, 2009

Bila Kesunyian Datang


Mungkin kita pernah merasakan kesunyian melanda sanubari.

Apabila ini terjadi, kita pasti merasa diri kita ini amat hampa, ada yang seakan hilang entah ke mana atau pergi mengembara jauh ke sana.

Hati merasa begitu terseksa sehingga di malam hari pun kita selalu terjaga. Bila hal itu terjadi tatkala kita merasa tidak seorang pun yang dapat memahami kita, tidak ada tempat untuk berkongsi cerita, berkongsi duka dan berkongsi rasa.

Hidup akan merasa semakin terseksa hingga tidak lagi bermakna.

Bila itu yang kita rasakan, mungkin ada yang selama ini kita lupakan. Bahawa ketika kita sedar dari mimpi dan termanggu dalam kesunyian, di saat itu sebenarnya Allah ada bersama kita.

DIA selalu memantau dan menemani kita dengan kasih sayang yang begitu dalam.
DIA akan selalu menemani tidur kita yang sepi dan menjaga diri kita yang lemah ini.

Namun, hal itu hanya akan terjadi bila kita mahu meyakini bahawa Allah itu benar adanya dan tentunya nama-Nya sudah termateri di hati kita.

Dengan kata lain, kita mahu mengimani dan mencintai-Nya dengan sepenuh jiwa.

Pernahkah kita menyedari hal ini? Allah telah memberikan kita begitu banyak nikmat dan anugerah kepada kita maka nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kita dustakan?

Allah telah membuat hati yang muram menjadi tenang, yang suram menjadi bercahaya dan yang kerdil menjadi raksasa.

Sepertinya kita tidak boleh larut dalam kesedihan, kerana boleh jadi Allah menganugerahkan rasa sepi dalam hati kita untuk menguji betapa kuat cinta kita.

Sehingga dengan sepi itu kita mampu untuk lebih khusyuk untuk mendekati-Nya.

Rasulullah SAW bersabda,
“ Sesungguhnya orang mukmin itu adalah orang yang luar biasa, seluruh perkara dalam hidupnya adalah baik baginya. Ketika mendapat kemudahan ia bersyukur.Itu adalah baik baginya dan apabila ia ditimpa kesulitan maka dia bersabar dan itupun juga adalah baik baginya.”

Friday, August 21, 2009

Ramadhan wujudkan persefahaman ummah



DALAM pelbagai kemelut dan polemik yang kita lalui, seluruh umat Islam akan bertemu dengan bulan paling mulia, penuh barakah, keampunan dan pembebasan daripada azab neraka. Walau apa keadaan dan kesediaan kita, kitaran masa yang diatur pasti akan menemukan kita dengan Ramadan yang penuh ganjaran ini.

Persoalannya kini, adakah kita mampu menggarap kekuatan Ramadan itu lebih daripada peranannya sebagai sebuah bulan puasa, bulan ibadah dan bulan kesihatan semata-mata? Malah, ada pula yang nakal dengan melihat Ramadan sebagai bulan ‘gastrik’, bulan ‘prestasi menurun’ dan bulan ‘kedai buka separuh’.

Kita selaku rakyat yang bertamadun, Islamik dan berdaya saing harus melihat Ramadan daripada perspektif berbeza. Ramadan sebenarnya cukup berperanan sebagai pembina insan yang kita cari selama ini. Ia juga sebagai platform terbaik ke arah penyatuan hati umat Islam.

Pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada peristiwa Perang Badar (Badr al-Kubra) menyaksikan kepada kita apa yang disebut sebagai suntikan semangat buat umat seluruhnya.

Namun, berteraskan keberkatan ketahanan puasa, dan ketaatan kepada Rasulullah SAW serta keimanan kepada Allah SWT, mereka mampu menang dan memacakkan bendera kegemilangan Islam ketika itu.

Kekuatan modal insan seperti inilah yang kita mahu garap. Pada hari ini, kita mengharapkan agar seluruh tenaga digembleng untuk memperkasakan modal insan berkualiti buat negara. Inilah aset sebenar negara. Melihat kepada indeks prestasi negara kini, kita amat berpotensi untuk maju dengan kemajuan infrastruktur setaraf Barat.

Di sinilah kita, selaku rakyat berprinsip, melihat seluruh pelaksanaan program yang dijalankan kerajaan mahupun mana-mana pihak terhadap pembangunan insan, khususnya belia sebagai program yang wajar disokong dan dibantu dengan kapasiti kita sebagai individu, keluarga, ketua masyarakat, sektor swasta, dan penggerak badan bukan kerajaan (NGO).

Persepsi negatif seperti menganggap program belia sebagai instrumen politik sesebuah pihak wajar dikikis, demi melihat maslahah (kepentingan) dan kejayaan umat seluruhnya kekal terjaga dan terbela. Melihat kepada akar permasalahan yang melingkari umat pada hari ini, mahu atau tidak kita sangat memerlukan kepada satu wadah untuk menyatukan umat.

Masyarakat Melayu Islam di negara ini harus menyemat di hati bahawa segala kemelut perbezaan prinsip dan ideologi perlu diselesaikan dengan mencari titik persamaan antara satu sama lain demi menjaga survival umat dan masa depan generasi akan datang.

Sebagai contoh, antara resolusi yang dicapai dalam Kongres Pelajar dan Teras-Teras Kenegaraan yang dianjurkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini, betapa perlunya usaha untuk kembali semula kepada teras dan nilai agama Islam yang dapat mewujudkan persamaan serta persefahaman antara semua pihak.


Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru agar semua pihak bersatu dan berpadu dalam menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai azam baru menggandakan program muhasabah, program kepemimpinan dan program kecemerlangan akademik, demi mengambil barakah yang melimpah-ruah pada bulan mulia ini.

Kita mohon bersama-sama agar usaha kita untuk mengangkat kembali martabat generasi muda kita hari ini kian diberi kekuatan dan bantuan Allah. Segala persengketaan politik, kekalutan persaudaraan, serta kecelaruan polemik wajar dihentikan demi memberi laluan kepada Ramadan, ‘Bulan Pembinaan Insan, Medium Penyatu Umat’.




MOHD AKMAL AFIQ MOHAMAD,
Timbalan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Wednesday, August 19, 2009

Kasihku Pada Ramadhan






Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu
kembali menjengah
hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa
Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu
Ramadhan
syarul Syiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatanya
Mutakkabir
Ramadhan
syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat
lalu,haruskah aku membiarkan malam-malammu
berlalu sepi tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim
Ramadhan
syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat
Yang Maha Agung
Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah yang mulia disisi-Nya
Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku
Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku
Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH

sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

Monday, August 3, 2009

Bingkisan Peringatan



Di kesibukan sebuah kota yang terkenal dengan kehandalan di medan peperangan, terdengar hingar-bingar orang di sana sini menjaja apa sahaja yang mereka ada.

"Murah-murah...lembing ini kayunya kayu kokka, terkenal khasiat zaman berzaman, runcingnya besi tembaga, tikaman pasti ke kuburan...!!" "Mari-mari beli ini pedang, sekali hayun terbelah dua, acapkali diguna sang badang, buat senjata memburu naga...!!" Demikian berpantun-pantun mereka menjaja alatan senjata untuk kegunaan pemuda perajurit di medan pertempuran.

Di tengah-tengah kebingitan itu, lalu seorang hamba Allah yang warak sedang memerhatikan gelagat manusia. Akhirnya terpaut hatinya pada seorang lelaki yang menjaja alatannya tadi.

"Mari-mari datang ke sini, andai terlepas pastinya rugi, hamba kembara seluruh negeri, menjaja hanya pada yang sudi."

"Di tangan kanan hamba perisai sakti, dicurah air gunung Indera puri, menahan segala yang dengki, tiada tercalar merekah apatah lagi."

"Pedang keramat di tangan kiri, disadur racun berbisa sekali, membelah sebarang sudahlah pasti, boleh mencuba kalau berani."
Pendek kata, lelaki ini mempromosikan pedangnya yang dikatakan mampu membelah apa sahaja, dan perisainya yang mampu menahan apa sahaja serangan.


Terpaku orang ramai mendengar kehebatan kedua-dua senjata itu, tapi hendak memilikinya bukan kemampuan kerana harganya melampaui jangkauan, hanya yang mampu mereka yang hartawan. Ketika orang ramai masih kagum dengan kehebatan senjata itu, hamba Allah yang warak itu keluar daripada kelompok orang ramai dan tampil ke hadapan berjumpa dengan lelaki tersebut. Dia berkata "Saudara, jika benarlah seperti yang digembar-gemburkan itu, maka cubalah belah perisai saudara dengan menggunakan pedang di tangan yang satu lagi itu." Ungkapan hamba Allah ini membuatkan lelaki ini terdiam, dan sedikit demi sedikit orang ramai meninggalkan dia yang tersentak di situ.

Moral : Jangan bermanis mulut sehingga berlebihan dalam mengkhabarkan sesuatu perkara

Sunday, August 2, 2009

KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN 2009


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.


Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.


PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.


Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.


Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.


Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.


Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;

”Kepentingan Memahami Peranan dan Sumbangan Islam dalam Pembinaan Teras Kenegaraan”

Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM
Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM


2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional?”

Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM

Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP

2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM


3. ”Integriti dan Pembinaan Jatidiri”

Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM

Pengulas: 1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS

2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM


4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”

Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM

Pengulas: 1. En. Daniel Alexander, TAC

2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM


Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.


PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.


Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.com. Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com.


Oleh:

KHAIRUL ANWAR SHAZALI

Setiausaha Agung PKPIM

Merangkap;

Pengerusi Jawatankuasa Induk

Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke 48 dan

Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009