Monday, June 2, 2008

GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

Setiap manusia yang dilahirkan dimuka bumi ini adalah pemimpin.Individu adalah pemimpin untuk dirinya sendiri. Jika konsep ini tiada, maka istilah pemimpin tidak wujud apatah lagi istilah khalifah. Justeru, kita harus memahami bahawa sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang dipilih dalam majlis syura. Syura berlaku untuk memilih pemimpin tertinggi dan juga pemimpin bawahan. Syura dalam erti kata rundingan bukanlah bermaksud kedaulatan ada pada insan, tetapi kedaulatan dalam syura ada pada Allah.

Beberapa perkara penting yang harus diberi perhatian dalam konsep kepimpinan daripada hadis berikut;Janganlah kamu menuntut kepimpinan. Maka jika kamu diberikan jawatan kepimpinan kerana kamu menuntutnya, maka kamu akan dibiarkan dengan keupayaanmu sendiri; dan kalau kamu dikurniakannya tanpa menuntut, maka kamu ditolong oleh Allah , maka jadilah urusan itu tidak memberatkan diri. (Hadis Bukhori-Muslim, Riwayat Abd. Rahman B. Samurah)

Hadis ini menjawab persoalan pemilihan pemimpin dalam syura adalah berlandaskan kepada keredhaan Illahi bukan pada insan semata-mata. Pengikut harus menerima keputusan syura dengan hati terbuka, yakin hanya pada Allah dan bukan meletakkan kayu ukur hanya pada manusia. Dalam buku Generasi Muda dan Perubahan, Ustaz fathi Yakan menyebut bahawa setiap pemimpin mempunyai kemampuan dan persiapan yang berbeza di antara individu yang berlainan dan perkara ini adalah suatu tabii dan realiti. Kepimpinan boleh lahir secara semulajadi dan ada yang boleh diusaha atau dibentuk. Menurut beliau, seseorang calon pemimpin perlu memiliki sifat-sifat asas seperti indhibati, ibdai’i dan berjihad.

Persiapan indhibati (Boleh disusun atur) ialah sifat individu yang sentiasa bersedia menerima arahan. Penerimaan arahan adalah persediaan kejiwaan dan fikiran untuk terikat dan berpegang teguh (iltizam). Tanpa sifat ini, hilanglah unsur ketaatan dan lenyaplah unsur bersedia menerima dan melaksanakan. Akibatnya, hancurlah sesebuah struktur organisasi dan pemimpin.

Persediaan Ibdai’i (Memberi/ produktif ) merujuk kepada sifat ibda’ yang ertinya memberi dan melahirkan natijah. Sifat ini menjadikan pemuda sebagai pelopor dalam masyarakatnya bukan pengekor semata-mata, yang bergiat cergas dan bukannya malas dan menjemukan. Islam tidak memerlukan golongan yang hanya bergerak apabila diketuk dan ditekan kerana keperluan hari ini amat mendesak kepada mereka yang sanggup memikul Islam dan bukan Islam memikul mereka.

Persediaan Jihad secara umumnya ialah sifat bersedia berkorban jiwa, harta dan segala sesuatu. Tidak pernah jemu dan lesu, tetapi terus bersemangat juang tinggi. Begitulah antara sifat-sifat asas yang perlu ada pada pemimpin yakni generasi muda yang memainkan tugas perubahan. Amanah melaksanakan tugas perubahan tidak boleh tidak berada di bahu generasi muda. Oleh itu, generasi muda perlu sentiasa cerdas dan iltizam tinggi dengan agama Allah Taala. Jadilah hamba yang berupaya memimpin diri dan masyarakat untuk menjadi hamba yang juga taat kepadaNya.

Sumber :
Syura, Muhammad Uthman El-Muhammady
Generasi Muda dan Perubahan, Fathi Yakan

No comments: