Sunday, June 29, 2008

MAKLUMAN PEGUAM DAN PEMBELA:MOHON DISEBARKAN

Makluman Peguam Pembela Islam: PENTING DAN MOHON DISEBARKAN


Tarikh-tarikh penting untuk perhatian:


7 Julai 2008 [9.00 pagi] – kes Tanah Perkuburan Kota Kemuning – Mahkamah Rayuan Putrajaya
Ini adalah permohonan Semakan Kehakiman oleh 187 orang bukan Islam terhadap penggunaan sebidang tanah yang masih belum digazetkan untuk tanah perkuburan Islam. Empat Jenazah Islam telahpun disemadikan di sana . Dan sekiranya permohonan semakan kehakiman tersebut dibenarkan empat jenazah Islam itu terpaksa digali semula. Sekarang perintah injunksi telah dikeluarkan bagi menghalang jenazah Islam lain dikebumikan di sana . Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memohon untuk mencelah tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil. MAIS merayu terhadap keputusan tersebut.


9 Julai 2008 [9.00 pagi] – kes penggunaan kalimah `Allah' - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta – permohonan untuk semakan kehakiman (Judicial Review)
Permohonan Semakan Kehakiman difailkan oleh Titular Roman Catolic Church of Kuala Lumpur untuk mengkaji semula keputusan kerajaan menghalang gereja tersebut untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly. Mereka juga memohon deklarasi mengisytiharkan perkataan ALLAH bukan milik khusus bagi orang Islam. Sekiranya dibenarkan orang Kristian bebas menggunakan perkataan ALLAH bagi tujuan agama mereka.


5 Ogos 2008 [9.00 pagi] – kes kalimah `Allah' Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta – Writ Saman
Pihak Titular Roman Chatolic Church of Kuala Lumpur telah memfailkan Writ Saman untuk deklarasi mengisytiharkan perkataan ALLAH bukan milik khusus bagi orang Islam.


7 & 8 Ogos 2008 [9.00 pagi] – kes kalimah `Allah' (Sidang Injil Borneo ) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta
Permohonan Semakan Kehakiman difailkan oleh Sidang Injil Borneo kerana merampas bahan-bahan cetakan berbahasa Indonesia yang merujuk beberapa perkataan digunakan untuk merujuk kepada agama Kristian. Mereka juga memohon menggunakan perkataan perkataan ALLAH, BAITULLAH, KAABAH dan SOLAT bagi kegunaan pendidikan agama Kristian. Sekiranya dibenarkan orang Kristian bebas menggunakan perkataan-perkataan tersebut untuk disebarkan di Malaysia.


Seruan:
Kami memohon agar umat Islam, khususnya pendukung-pendukung NGO-NGO Islam yang berkelapangan untuk hadir di Mahkamah berkenaan pada tarikh-tarikh tersebut di atas bagi mengikuti secara langsung perbicaraan kes-kes yang dinyatakan, demi menzahirkan keprihatinan serta memberi sokongan moral kepada perjuangan ini serta pihak-pihak yang terlibat. Kes-kes tersebut merangkumi pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam dan kedudukan Islam di dalam perlembagaan persekutuan. Sebarang pertanyaan/ pengesahan kehadiran boleh berhubung dengan Hj. Zainul Rijal Abu Bakar (0192351555) atau Azril Mohd Amin (0123037110).

Sekian,

Peguam Pembela Islam [PPI]

Pertubuhan-pertubuh an Pembela Islam [PEMBELA]

www.myislamnetwork. net

Monday, June 9, 2008

KENANGAN TERINDAH

Sudah genap 2 bulan aku berada di Kuala Lumpur.Banyak yang aku dapat bila berada di sini.Pada mulanya,aku hanya merancang untuk berada di sini selama 3 minngu sahaja.Tetapi apabila ku fikirkan sejenak tentang apakah yang akan aku buat untuk habiskan masaku di kampung sementara menunggu naik semester akan datang??Aku batalkan sahaja niatku untuk pulang.
Lalu aku teruskan sahaja perantauan aku untuk mengenali dunia yang sebelum ini aku tidak pernah terokai.

Perantauan aku bermula ketika aku menyertai induksi pimpinan PKPIM-PAUIAM di Kg Changkat pada 18-20 April.Induksi ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pimpinan baru PKPIM-PAUIAM PJ dan Nilai untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin pada semester akan datang.

Pada 25-27 April pula, aku telah diajak oleh Kak Lina untuk menjadi fasilitator kem ibadah PPIWP di Melaka.Aku pada mulanya berasa tidak selesa kerana tidak mempunyai teman kecuali Kak Lina dan Sakinah.Tetapi bila sudah melalui kem ini aku dapat mengenali ramai teman baru antaranya Kak Su,Kak Nisa,Kak Naheed,Abg Dat,Ifa(co.fasi) dan ramai lagi.Di sini aku dapat menambah pengalaman menjadi fasi yang sebelum ini hanya sekali sahaja dalam hidupku menjadi fasi.

Pada 2-4 Mei, aku menyertai Latihan Kefasilitatoran dan Pengurusan Program yang dianjurkan oleh PEPIAS di Kem Jalan Kebun.Disini aku didedahkan untuk menjadi fasilitator dan bagaimana menguruskan program dengan baik.Aku dapat banyak input antaranya apa itu fasilitator,modul dan LDK, bagaimana hendak menarik perhatian mad'u kita.Aku juga diajar dengan modul-modul baru.Selepas menyertai LAKEP ini, aku menyedari terdapat banyak kelemahan yang telah aku lakukan semasa menjadi fasi sebelum ini.Aku harapkan agar tidak mengulangi kelemahan itu pada masa akan datang.Insyaallah.

Selepas itu, pada 13-15 Mei aku telah menjoinkan diriku ke Konvensyen Belia Kebangsaan di Hotel Pearl Antarabangsa, Jalan Klang Lama.Konvensyen ini bertujuan untuk menghimpunkan belia-belia seluruh negara sempena Hari Belia pada 15 Mei.Di konvensyen ini, aku telah bertemu dengan ramai orang kenamaan, datuk-datuk dan paling penting aku telah berjumpa dengan Datuk Khir Toyo.Aku merasakan diriku pada waktu itu hanya seekor semut yang dikelilingi oleh manusia.Nasib baikla pada waktu itu aku ditemani Abg Abu.Abg Abu lah yang telah mengajar aku bagaimana untuk bergaul dengan orang-orang terkenal.Aku cukup tertarik dengan personaliti Abg Abu.Abg Abu menunjukkan personaliti seorang pemimpin yang berkaliber.

Selepas pulang daripada konvensyen, aku terus pulang ke pejabat PKPIM pusat.Di sini lah bermula kehidupan aku untuk mengenali kehidupan PKPIM pusat dengan lebih dekat.Benarlah pepatah ada menyatakan "tak kenal maka tak cinta".Aku pada mulanya segan dengan abg-abg dan kakak-kakak pusat.Tetapi lama kelamaan, aku merasakan amat selesa dan seperti berada dalam sebuah keluarga yang amat besar.Di pusat ini aku didedahkan dengan macam-macam info dan keadaan.Di sini aku dapat mengikuti Demo memperingati peristiwa nakba, ziarah Datuk Anwar Ibrahim dan akhir sekali membantu Abg MK untuk Program Menara Gading Kebangsaan di BMI-UNIKL pada minggu lepas.

Itulah antaranya aktiviti yang aku lakukan sepanjang aku berada di Kuala Lumpur.Aku harapkan aktiviti yang aku lakukan dan sertai ini dapat memberi manfaat padaku untuk menjadi seorang yang tidak lupa pada tanggungjawab sebagai khalifah dimuka bumi ini.Aku juga berharap agar ALLAH akan memberi keberkatan dan rahmat padaku dan apa yang telah aku lakukan sebelum ini.Aku masih ingat pesanan Abg dan Kakak di sini iaitu "biar kita tidak dapat redha manusia tapi jangan terlepas redha ALLAH, sesungguhnya hanya redha ALLAH sahaja yang menjamin ke syurga tapi redha manusia tanpa redha ALLLAH tidak akan membawa apa-apa pada kita"

Terima kasih Abg-abg dan Kakak-kakak.

Monday, June 2, 2008

GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

GENERASI MUDA DAN PERUBAHAN

Setiap manusia yang dilahirkan dimuka bumi ini adalah pemimpin.Individu adalah pemimpin untuk dirinya sendiri. Jika konsep ini tiada, maka istilah pemimpin tidak wujud apatah lagi istilah khalifah. Justeru, kita harus memahami bahawa sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang dipilih dalam majlis syura. Syura berlaku untuk memilih pemimpin tertinggi dan juga pemimpin bawahan. Syura dalam erti kata rundingan bukanlah bermaksud kedaulatan ada pada insan, tetapi kedaulatan dalam syura ada pada Allah.

Beberapa perkara penting yang harus diberi perhatian dalam konsep kepimpinan daripada hadis berikut;Janganlah kamu menuntut kepimpinan. Maka jika kamu diberikan jawatan kepimpinan kerana kamu menuntutnya, maka kamu akan dibiarkan dengan keupayaanmu sendiri; dan kalau kamu dikurniakannya tanpa menuntut, maka kamu ditolong oleh Allah , maka jadilah urusan itu tidak memberatkan diri. (Hadis Bukhori-Muslim, Riwayat Abd. Rahman B. Samurah)

Hadis ini menjawab persoalan pemilihan pemimpin dalam syura adalah berlandaskan kepada keredhaan Illahi bukan pada insan semata-mata. Pengikut harus menerima keputusan syura dengan hati terbuka, yakin hanya pada Allah dan bukan meletakkan kayu ukur hanya pada manusia. Dalam buku Generasi Muda dan Perubahan, Ustaz fathi Yakan menyebut bahawa setiap pemimpin mempunyai kemampuan dan persiapan yang berbeza di antara individu yang berlainan dan perkara ini adalah suatu tabii dan realiti. Kepimpinan boleh lahir secara semulajadi dan ada yang boleh diusaha atau dibentuk. Menurut beliau, seseorang calon pemimpin perlu memiliki sifat-sifat asas seperti indhibati, ibdai’i dan berjihad.

Persiapan indhibati (Boleh disusun atur) ialah sifat individu yang sentiasa bersedia menerima arahan. Penerimaan arahan adalah persediaan kejiwaan dan fikiran untuk terikat dan berpegang teguh (iltizam). Tanpa sifat ini, hilanglah unsur ketaatan dan lenyaplah unsur bersedia menerima dan melaksanakan. Akibatnya, hancurlah sesebuah struktur organisasi dan pemimpin.

Persediaan Ibdai’i (Memberi/ produktif ) merujuk kepada sifat ibda’ yang ertinya memberi dan melahirkan natijah. Sifat ini menjadikan pemuda sebagai pelopor dalam masyarakatnya bukan pengekor semata-mata, yang bergiat cergas dan bukannya malas dan menjemukan. Islam tidak memerlukan golongan yang hanya bergerak apabila diketuk dan ditekan kerana keperluan hari ini amat mendesak kepada mereka yang sanggup memikul Islam dan bukan Islam memikul mereka.

Persediaan Jihad secara umumnya ialah sifat bersedia berkorban jiwa, harta dan segala sesuatu. Tidak pernah jemu dan lesu, tetapi terus bersemangat juang tinggi. Begitulah antara sifat-sifat asas yang perlu ada pada pemimpin yakni generasi muda yang memainkan tugas perubahan. Amanah melaksanakan tugas perubahan tidak boleh tidak berada di bahu generasi muda. Oleh itu, generasi muda perlu sentiasa cerdas dan iltizam tinggi dengan agama Allah Taala. Jadilah hamba yang berupaya memimpin diri dan masyarakat untuk menjadi hamba yang juga taat kepadaNya.

Sumber :
Syura, Muhammad Uthman El-Muhammady
Generasi Muda dan Perubahan, Fathi Yakan

Tuesday, May 27, 2008

SIARAN MEDIA

PAKAIAN SEKOLAH PELAJAR PEREMPUAN PERLU DINILAI SEMULA
21 MEI 2008/ 15 JAMADILAWAL 1429 H

Akhir-akhir ini kita sering disajikan dengan kes sosial, rogol, gangguan seksual mahupun hubungan seks sebelum perkahwinan yang melibatkan remaja wanita belasan tahun. Kebanyakan mereka adalah terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Implikasi daripada kejadian ini maka berlakulah kelahiran bayi luar nikah, pembuangan bayi mahupun pelacuran. Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak. Namun begitu, isu ini dilupakan seketika apabila laporan sebegini tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila ada mangsa terbaru dilaporkan.

Konsep menutup aurat itu penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat Islam terutama yang melibatkan muslimah. Pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Pakaian merupakan cerminan akhlak seseorang muslim dan Islam sangat menitik beratkan perihal pakaian menurut Islam. Namun begitu, masih terdapat mereka yang memandang sambil lewa hal ini. Contohnya baju sekolah pelajar perempuan. Baju berwarna putih tersebut sangat jarang atau transparent’ untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan. Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya. Oleh itu terjadilah perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya. Hakikatnya, kita tidak mahu perkara sebegini berlaku di negara kita. Sepatutnya, remaja perempuan perlu bersifat assertif terhadap sesuatu perbuatan yang mencabuli kehormatan mereka. Apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa-apa sahaja oleh sesiapa. Oleh itu penilaian terhadap baju sekolah pelajar perempuan perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran secepat mungkin.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah. PKPIM mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menukar baju putih sekolah kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan. Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat. Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini dan rombakan perlu dilakukan ke atas pemakaian pelajar perempuan demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam.


PEMAKAIAN PELAJAR PEREMPUAN

Kementerian Pelajaran dicadangkan menukar pakaian seragam pelajar perempuan bagi menangani jenayah seksual melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dalam kalangan mereka.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, kementerian boleh menukar baju putih kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

"Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ," kata pemimpin wanita PKPIM, Munirah Bahari hari ini.

"Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya.

"Oleh itu terjadilah perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya."

Beliau mencadangkan kementerian menilai semula secepat mungkin baju seragam sekolah untuk pelajar perempuan.

Jika kementerian ingin mengekalkan seragam warna putih, katanya, PKPIM mencadangkan pelajar perempuan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung yang labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

budak sekolah seragam baju 210508"Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini dan rombakan perlu dilakukan ke atas pemakaian pelajar perempuan demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam," kata Munirah, naib presiden hal ehwal wanita PKPIM, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, sikap pelajar perempuan yang tidak tegas menjadikan mereka mangsa cabul.

"Apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa-apa sahaja oleh sesiapa," katanya.

Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja, tegas Munirah, perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

"Namun begitu, isu ini dilupakan seketika (sekarang) apabila laporan sebegini tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar.

"Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila ada mangsa terbaru dilaporkan," tambahnya.

"Pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini."

Wednesday, May 21, 2008

BUAT TATAPAN BERSAMA

Bab Ketiga : Pada menyatakan menjauh segala maksiat yang zahir
Hidayatus Salikin (Petunjuk jalan bagi orang yang takut kepada Allah Taala)

Terkadang mengumpat itu diharuskan oleh syara’ jika membawa maslahat pada syara’, iaitu pada enam tempat :

1. Mengata akan kejahatan orang yang menzalimakan dia kepada kadhi, atau kadhi menzalim akan dia maka diadukannya kejahatan itu kepada sultan supaya dihukumkan oleh sultan akan kadhi itu.
2. Mengata orang yang berbuat kejahatan sebab mungkir akan dia supaya meninggalkan ia akan berbuat maksiat.
3. Sebab ia meminta fatwa kepada mufti seperti katanya kepada mufti; bahawasanya si fulan menzalim akan daku, apa hukumnya dan apa jalannya yang melepaskan daripada zalimnya itu.
4. Sebab ia menakut akan orang yang hendak bersahabat dengan orang fasiq, atau orang zalim. Maka dikatanya, Jangan engkau bersubahat dengan si fulan itu kerana is fasiq atau kerana ia zalim atau perbuatannya itu sangat jahat.
5. Hendak memberi tahu akan nama orang yang tiada diketahui melainkan dengan disebut akan aibnya itu, seperti dikatanya; si fulan itu buta atau capik (tempang) atau dungu atau barang sebagainya.
6. Menyebut akan kejahatan orang yang masyhur dengan fasiq atau masyhur dengan zalim atau masyhur dengan berbuat zina atau m

Monday, May 19, 2008

MAHATHIR KELUAR UMNO

BERITA HANGAT!!!!!!!!!


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Umno seumur hidup, semalam mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Bagaimanapun, Ismail Jaziz yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan memperjuangkan hak orang Melayu, mencabar Dr Mahathir mengetuai usaha berkenaan supaya boleh dicontohi ramai lagi ahli Umno. Berikutan itu, Dr Mahathir mengumumkan keluar parti dan disambut tepukan gemuruh hadirin.

Majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim; Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Pengerusi DPMK, Tan Sri Khalid Abdullah.

Pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan menulis surat kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memaklumkan secara rasmi keputusannya itu.

Ditanya adakah beliau yakin ramai ahli Umno akan menyertainya, Dr Mahathir berkata, terpulang kepada mereka sama ada mahu terus mengutamakan Abdullah atau perjuangan parti.

Menjawab soalan sama ada beliau akan menyertai parti lain, bekas Perdana Menteri itu berkata, ahli Umno yang keluar parti jangan menyertai mana-mana parti.

Beliau berkata, sebagai ahli Umno yang sayangkan parti sudah tiba masanya mereka mengambil tindakan berani demi masa depan orang Melayu kerana tindakan sementara itu tidak akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa politik.

"Politik Melayu tak hilang. Kalau orang Melayu nak betulkan, bukan sebab kerana nak keluar saja. Kalau orang Melayu berani untuk memelihara parti dan perjuangan orang Melayu, mereka harus berani bertindak.

"Ini sampai kita nak adakan perjumpaan, ahli Umno tak boleh hadir, Ketua Bahagian tak boleh hadir... ini apa?" katanya.

Secara berkias, Dr Mahathir berkata, mengikut amalan kedoktoran jika sesuatu anggota pada tubuh manusia tidak boleh lagi digunakan kerana penyakit serius, ia perlu dibuang supaya tidak merebak dan mengancam nyawa individu berkenaan.

Ditanya adakah Adun dan Ahli Parlimen Umno juga perlu keluar parti, Dr Mahathir berkata, mereka wajar berbuat demikian jika benar-benar sayang kepada Umno.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan tindakannya itu mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V K Lingam.

"Ini soal mahkamah... dia boleh tuduh dan kalau saya salah masuk jail. Kalau tak salah, janganlah tangkap saya juga," katanya sambil ketawa.

Beliau berkata, ahli Umno perlu memberi mesej yang keras dan jelas kepada kepimpinan parti supaya mereka mendengar kehendak ahli dan bukan hanya mendengar nasihat serta menuruti arahan sekelompok manusia yang lebih berkuasa, termasuk anak dan menantu Abdullah.

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah tidak sesuai menjadi pemimpin kerana terlalu lembut dan lembik apabila terlalu mudah tunduk kepada Singapura, Amerika Syarikat, Barisan Pejuang Hak-hak Hindu (Hindraf) dan Majlis Peguam.

Katanya, Abdullah tidak mahu menerima hakikat bahawa parti yang dipimpinnya, termasuk komponen Barisan Nasional (BN) kini di ambang kehancuran apabila tewas di lima negeri, termasuk Wilayah Persekutuan serta gagal merampas semula Kelantan.

"Beliaulah yang menghancurkan parti komponen BN iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP apabila parti berkenaan kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu. Hasilnya masyarakat Cina dan India yang sebelum ini amat menaruh kepercayaan kepada BN kini tidak percaya lagi kepada BN," katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat Kedah juga wajar berbuat sesuatu kerana dilayan secara tidak adil apabila mereka tiada wakil dalam Kabinet sedangkan di sesetengah negeri jumlahnya terlalu ramai.

"Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan walaupun kalah ada wakil dalam Kabinet tetapi mengapa Kedah tiada seorang pun dilantik sebagai menteri penuh," katanya.

Pada akhir majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap pemimpin Umno sekarang kerana bukan saja tidak mempertahankannya, sebaliknya turut mengkritiknya.

"Kalau dulu orang kata kononnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasai tak buat jambatan, orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya," katanya.

Dr Mahathir, 83, melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003 selepas 22 tahun memimpin kerajaan dan memilih Abdullah sebagai penggantinya. Beliau bagaimanapun lantang mengkritik Abdullah yang dianggap gagal meneruskan dasar pemerintahannya.

Sejarah Dr Mahathir dalam Umno menyaksikan beliau pernah dipecat daripada parti itu pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengesahkan keluar parti dalam blognya, www.chedet.com pada jam 10.11 malam tadi. Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau keluar dari Umno berkuat kuasa serta-merta bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang bernombor keahlian '2'.

Beliau turut menegaskan bahawa "saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan."

Laporan Dr Mahathir keluar Umno turut disiarkan kebanyakan blog lain, sama ada penyokong atau penentang beliau bersama komen pembaca.

Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi tiada laporan terkini mengenai ahli atau pemimpin Umno lain mengikut jejak bekas Presiden parti berkenaan.